Pengaruh Kekasih Kuat Melalui Telefon Bimbit
Walaupun gejala sosial dan keruntuhan akhlak sering dikaitkan dengan remaja, masyarakat tidak harus menuding jari menyalahkan teknologi dan remaja 100 peratus kerana lumrah remaja mempunyai naluri mencuba sesuatu yang baru.
Pengarah Institusi Pemulihan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Ustaz Masridzi Sat berkata, remaja sememangnya cenderung terjerumus ke kancah negatif jika tersalah didikan atau tidak dikawal ibu bapa.
“Anak-anak ibarat layang-layang dan ibu-bapa sebagai pemegang tali. Merekalah yang bertanggungjawab mengawasi anak mereka supaya tidak tersasar,” katanya.
Masridzi tidak menafikan kebanyakan kes keruntuhan akhlak yang diterima bermula dengan penggunaan telefon bimbit dan Internet yang tidak dipantau ibu-bapa.
“Benda ini menyeronokkan, remaja sukalah! Selain boleh telefon kawan dan kekasih, boleh juga simpan gambar dan video. Malah, sekarang melalui telefon bimbit pun boleh layari Internet dan dapatkan maklumat sensasi.
“Ramai penghuni di sini terpengaruh dengan kekasih melalui telefon.
Kemudian mereka bertukar gambar dan buat panggilan video. Selepas itu mereka mula berbual perkara berbaur lucah, bertemu dan akhirnya melakukan hubungan seks,” katanya.
Masridzi berkata, remaja boleh didedahkan dengan teknologi, tetapi dalam masa yang sama mereka memerlukan kekuatan dan jati diri yang kukuh.
Bagi membentuk peribadi mulia anak-anak, ibu-bapa adalah orang yang paling bertanggungjawab memikul amanah ini memandangkan remaja Malaysia dikatakan mempunyai rangsangan seks yang tinggi, tetapi kurang daya kawalan.
“Tidak cukup jika ibu-bapa sekadar lengkapkan anak dengan kekuatan mental dan fizikal sahaja kerana elemen itu hanyalah bersifat sementara. Anak-anak tetap perlu diserapkan dengan kekuatan rohaniah,” katanya.
Jelasnya, ibu-bapa juga tidak harus berasa takut atau serba salah untuk menyekat kebebasan anak mereka.
“Mereka perlu tunjukkan rasa ‘cemburu’ dengan sentiasa memeriksa telefon bimbit dan melihat gerak-geri, watak dan pergaulan anak. Biar dahi anak berkerut sikit, yang penting ibu-bapa berani mencegah kemungkaran,” katanya.
Masridzi turut mengakui kebanyakan ibu-bapa percayakan anak mereka sepenuhnya dan membiarkan sahaja anak tanpa ada batasan.
“Anak-anak tak boleh taksub dan jadikan komputer sebagai ‘kekasih’. Bila terlalu taksub, berlakulah perkara negatif,” katanya.
Telefon Bimbit ‘Heret’ Meera Ke Pusat Pemulihan Akhlak
Meera (bukan nama sebenar) salah seorang penghuni di Perkid berusia 17 tahun mengaku ‘tercampak’ ke pusat perlindungan itu berpunca daripada perkenalan dengan teman lelakinya, Wan (bukan nama sebenar) melalui telefon bimbit.
Sejak berkenalan dengan Wan, Meera sering memberontak dan melawan cakap kedua-dua orang tuanya, malah dia juga sering ponteng sekolah gara-gara terpengaruh dengan rakan dan teman lelaki.
Menurut Meera, tindakan ibu-bapanya yang tidak pernah ambil peduli tentang dirinya membuatkan dia sering bosan dan sunyi, sehinggalah dia berkenalan dengan Wan.
Mengimbas detik perkenalan mereka, Meera sememangnya tidak pernah mengenali Wan. Berlakunya perkenalan apabila suatu hari Wan berkali-kali mendail nombor telefonnya.
“Mula-mula saya tak layan sebab dia cuma buat miss called. Bila saya angkat, dia letak telefon. Lama-lama barulah dia telefon saya dan beritahu dia ‘minat’ dan nak kawan dengan saya.
“Selepas tiga minggu berkawan, Wan mahu saya jadi kekasihnya pula dan saya bersetuju,” katanya.
Menjadi pasangan Wan membuatkan hidup Meera berubah. Dia sering keluar malam dan mengikut Wan bertemu rakan-rakannya yang lain. Larangan ibu-bapa langsung tidak diendahkannya.
“Masa tu saya rasa Wan lelaki terbaik. Saya tak boleh hidup tanpa dia. Kalau tak bertemu, kami berhubung setiap masa melalui ‘handphone’.
“Berbalas SMS adalah perkara biasa bagi kami. Kalau saling merindu, kami akan bertukar-tukar gambar dengan menghantar MMS. Kalau rindu tengah-tengah malam, saya atau dia akan buat panggilan video pula,” katanya.
Wan juga pernah mendesak Meera supaya menanggalkan pakaian ketika mereka berhubung dengan cara panggilan video, tetapi Meera enggan menurut kehendak Wan.
Menurut Meera, ibu-bapanya juga tidak pernah menyentuh telefon bimbitnya.
“Ayah selalu keluar, emak pula tak peduli tentang saya. Manalah ada masa nak periksa telefon bimbit,” katanya yang mempunyai sembilan adik-beradik ini.
Meera turut menceritakan malam tragis sebelum dia dihantar oleh ibu-bapanya ke Perkid.
“Malam itu saya ikut Wan pergi pasar malam. Dia pujuk saya balik lewat dan ajak lepak di rumah kawannya. Bila balik ke rumah, emak marah-marah dan saya berkurung dalam bilik.
“Disebabkan tidak tahu cara untuk mengawal saya, saya dihantar ke pusat pemulihan akhlak ini,” katanya.
- MSTAR