Puteri Rantau Abang kembali mendarat selepas 32 tahun menghilang


DUNGUN 12 Ogos - Puteri Rantau Abang, penyu belimbing yang dilepaskan ke laut 32 tahun lalu di bawah program penetasan bagi tujuan pemuliharaan, dikesan kembali buat pertama kalinya ke pantai di sini untuk bertelur baru-baru ini.

Kemunculannya memberi harapan baru terhadap masa depan spesies itu yang dikatakan gelap sekali gus membantu menyambung kajian mengenai migrasi yang pernah dilakukan 20 tahun lalu.

Petang semalam, di pantai yang sama, ia dilepaskan semula ke laut setelah dipasang peralatan peranti satelit dengan teknologi terkini.

Usaha Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang itu bertujuan mengumpulkan pelbagai maklumat saintifik mengenai laluan penjelajahan penyu itu, kawasan pemakanan dan permainannya di samping merekod suasana ekologi seperti kadar kemasinan dan suhu air.

Ia dilepaskan oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Rantau Abang, Datuk Zaa'bar Mohd. Adib.

Pelancong dan penduduk tempatan yang teruja dengan usaha dilakukan, tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara itu.

Penyu belimbing itu yang ditetaskan pada 1978 dan dipasangkan tanda pengenalan oleh Jabatan Perikanan kini mencapai ukuran 1.51 meter lebar, 1.16 meter panjang dan seberat hampir 500 kilogram.

Ia mendarat buat pertama kalinya untuk bertelur pada 15 Julai lalu, disusuli pada 26 Julai dan 6 Ogos lalu sebelum 'disimpan' buat sementara dalam tangki bagi tujuan pemasangan peralatan satelit.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Ahamad Sabki memberitahu, peranti satelit Platform Transmitter Terminal yang dibeli dari New Zealand mempunyai jangka hayat bateri selama lebih setahun.

"Pergerakan penyu itu sekiranya ia terus selamat akan dapat dikesan oleh Satelit Argos yang berpengkalan di Perancis.

''Banyak maklumat saintifik yang akan diperoleh seperti sejauh mana Puteri Rantau Abang berenang meninggalkan pantai Rantau Abang setelah bertelur," ujarnya.

Katanya, maklumat mengenai lokasi kawasan pemakanannya juga amat mustahak untuk masyarakat antarabangsa bersama-sama meningkatkan aktiviti melindunginya.

Menurut Ahamad Sabki, pihaknya juga turut mengharapkan publisiti meluas mengenai kajian sebegini agar dapat meningkatkan lagi kesedaran umum dan mereka akan bersama-sama jabatan melindungi dan memulihara spesies itu dan penyu-penyu lain .

Sementara itu, Zaa'bar memberitahu, pada musim pendaratan tahun ini sehingga semalam, tiga ibu penyu belimbing telah mendarat di pantai Rantau Abang dengan hampir 500 biji telur.

''Telur-telur ini akan dieram di pusat penetasan Rantau Abang dan kemudiannya dilepaskan ke laut," ujarnya.

Beliau berharap perkembangan terbaru ini benar-benar dapat membuktikan penyu belimbing akan terus kembali setelah beberapa dekad dilepaskan ke laut.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url