Biar mahasiswa tentukan berpolitik atau tidak!

Oleh Tey Jun Ren
Presiden Persatuan Mahasiswa, Fakulti Undang-Undang Asia, Bangi, Selangor.

Sejak pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 1970-an, penglibatan mahasiswa dalam parti politik hangat dibicarakan baik dalam kalangan mahasiswa ataupun para akademia. Pada 4 Ogos lalu, kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dalam Soal Jawab TV3 yang bersetuju mahasiswa dibenarkan berpolitik merupakan satu idea yang cukup berani.

Mahasiswa diberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya bahawa mereka mampu dan dapat berfikir secara matang serta mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Bagi mahasiswa, sudah tentu kami berasa amat gembira dengan kepercayaan dan keyakinan itu. Memang benar mengambil perkembangan politik semasa merupakan satu proses yang akan membentuk dan melahirkan mahasiswa yang berpandangan jauh serta berfikiran matang.

Namun, kami berpendapat bahawa melibatkan diri dalam parti politik secara langsung dan berdaftar sebagai ahli parti bukan satu-satunya cara untuk mengikuti perkembangan politik semasa.

Persoalannya, adakah kebebasan untuk menyertai parti politik jauh lebih penting berbanding dengan proses untuk melahirkan graduan yang boleh berfikir secara kritikal, berdaya saing, berpengetahuan luas, berketrampilan serta mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing?

Persoalan ini mesti dijawab dan dijustifikasi sebelum kerajaan membuka ruang kepada mahasiswa menyertai parti politik.

AUKU khususnya Seksyen 15 tidak membenarkan mahasiswa menyertai parti politik. Kami tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa peruntukan undang-undang ini membantutkan perkembangan mahasiswa.

Sepatutnya kita mengupas isu ini daripada perspektif yang lebih menyeluruh. Menyertai parti politik bukan satu-satunya langkah untuk melahirkan mahasiswa minda kelas pertama. Banyak perkara lain yang jauh lebih penting perlu diberi perhatian. Dari sudut pandangan para aktivis, sudah tentu sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin.

Sewajarnya, mahasiswa yang bakal membarisi pimpinan negara masa depan memberi keutamaan kepada pengajian serta meningkatkan soft-skill masing-masing sewaktu berada di universiti.

Tiga atau empat tahun adalah tempoh yang amat singkat, dan menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan secara berfaedah. Sekali lagi kami tegaskan, kami tidak menolak kebebasan mahasiswa untuk berparti politik. Namun, kami berpandangan bahawa sepanjang berada di universiti, tempoh itu wajar digunakan untuk menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang masing-masing dan meningkatkan soft-skill melalui penglibatan dalam program yang bersifat ilmiah, kebudayaan, kepimpinan, riadah dan lain-lain lagi.

Kami tidak menolak bahawa mahasiswa boleh bergiat dalam parti politik, tetapi kami merasakan bahawa belum sampai masanya untuk membuka ruang kepada mahasiswa menyertai parti politik. Pandangan ini bukan tidak berasas. Berbagai-bagai aspek perlu diberi perhatian. Menurut Tan Sri Ibrahim Abu Shah, kita patut melihat sama ada perkara ini membuahkan kesan positif yang lebih banyak ataupun kesan yang sebaliknya.

Justeru, kita perlu bijak membezakan apakah sebenarnya yang lebih utama buat pembangunan negara sama ada kebebasan mahasiswa berpolitik atau pembentukan mahasiswa minda kelas pertama?

Suasana politik di negara kita tidak memerlukan pimpinan yang terlalu taksub dengan ideologi politik tersendiri bagi memperjuangkan pembangunan rakyat dan negara. Kami berpendapat bahawa suara mahasiswa masih mempunyai ruang dan diberi perhatian oleh pelbagai lapisan masyarakat sekiranya mahasiswa itu bebas berfikir, membuat keputusan dan mengkritik tanpa dipengaruhi oleh ideologi politik kepartian.

Selama ini, kami tidak teragak-agak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati kepada mana-mana pihak kerajaan kerana kami bebas daripada kongkongan mana-mana parti politik. Atas dasar inilah yang memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa mahasiswa mampu berfikir secara matang dan rasional dalam membuat keputusan sekali gus mampu memacu negara merealisasikan Wawasan 2020.

Dalam hal ini, mahasiswa yang tidak menyertai parti politik sebenarnya memainkan peranan besar untuk pembangunan negara. Realitinya, kami tidak mampu menyediakan infrastruktur kepada masyarakat, namun kami mampu menyumbang dari segi modal insan serta pemikiran yang terbuka untuk membantu kerajaan membangunkan negara.

Saya berharap pihak kerajaan mengekalkan status-quo dan tidak terburu-buru membuat keputusan untuk membawa suatu perubahan yang bakal mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat dan negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url