Wujudkan pangkalan data DNA
Antaranya kemungkinan sekiranya maklumat DNA itu dimanipulasi atau disabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun, kebimbangan itu boleh diatasi jika kerajaan hanya menubuhkan pangkalan data DNA sahaja, bukannya tabung sampel DNA. Pangkalan data DNA dan tabung sampel DNA adalah dua perkara berbeza yang sering disalah anggap oleh ramai pihak. Kedua-duanya dilaksanakan di negara-negara maju.
Tabung sampel DNA adalah pusat penyimpanan sampel seperti tabung simpanan darah, sel stem atau tali pusat. Ia diambil dan disimpan secara fizikal dari tubuh manusia seperti air mani, air liur, darah dan rambut serta memerlukan kos yang tinggi untuk menyimpan dan menjaganya.
Manakala, pangkalan data DNA pula adalah sistem berkomputer yang menyimpan maklumat DNA seperti nombor profil DNA seseorang. Ia wujud secara maya seperti nombor MyKad yang disimpan dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurut bekas pensyarah Matematik Gunaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin, setiap bayi yang baru lahir boleh diambil sampel DNAnya.
Katanya, bayi itu kemudian akan diberi satu indeks nombor yang unik dengan menggunakan formula matematik.
“Tanpa menggunakan Matematik, DNA itu sendiri tidak akan dapat diperoleh. Contohnya, gambar atau corak DNA boleh diperoleh daripada sampel tali pusat atau air liur bayi.
“Gambar DNA ini boleh disimpan di dalam bentuk arkib kerana ia tidak praktikal untuk digunakan dalam proses carian. Ia juga boleh digunakan untuk membuat perbandingan,” katanya yang merupakan pakar Matematik Gunaan Bebas.
Gambar DNA itu pula diterjemahkan kepada satu nombor unik yang kekal menjadi identiti diri dan keturunannya. Ini bermaksud, pangkalan data DNA tidak menyimpan sampel DNA tetapi menyimpan gambar dan nombor unik DNA.
Menurut Abdul Hamid, nombor unik itulah yang dijadikan rujukan seperti nombor kad pengenalan. Setiap individu memiliki nombor MyKad yang menjadi identiti dirinya dan membezakannya dengan individu lain. Nombor itu juga tidak boleh ditipu atau diubah suai kecuali oleh JPN.
Tambahnya, nombor unik profil DNA tersebut dimasukkan ke dalam surat beranak dan MyKad bagi menangani berbagai jenis masalah pada masa akan datang, yang tidak semestinya hanya kes jenayah sahaja.
Beliau juga berkata, nombor itu dijadikan sebagai salah satu ciri tambahan identiti pengenalan rakyat Malaysia, yang boleh terus direkodkan di dalam sijil kelahiran dan MyKad. Oleh yang demikian, pihak yang paling tepat untuk menyimpan dan mengurus rekod profil DNA adalah JPN.
Semua pihak lain adalah ‘pengguna’ kepada JPN, malah boleh mencapai maklumat itu secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana saja berada. Dengan meletakkan pengurusan pangkalan data DNA di bawah JPN, ia akan menyukarkan pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab menceroboh masuk ke dalam sistem.
- UTUSAN