Rancang perjalanan, servis kenderaan
Nasihat oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh itu dituju kepada orang ramai yang ingin pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.
Dengan kadar kepadatan kenderaan di jalan raya dijangka meningkat dua hingga tiga kali ganda berbanding hari-hari biasa, ia kemungkinan akan meningkatkan juga risiko untuk berlakunya kemalangan.
Walaupun langkah-langkah keselamatan dan kelicinan jalan raya sentiasa dipastikan oleh JKJR, namun menurut beliau, usaha daripada pemandu itu sendiri adalah penting.
"Orang ramai disarankan menggunakan pengangkutan awam kerana pengangkutan awam di Malaysia pada masa ini semakin bertambah baik, namun jika pemandu memilih untuk memandu sendiri, mereka haruslah berhemah, bertolak ansur, bertimbang rasa dan tenang, kenderaan dihantar servis dan berada dalam keadaan yang baik," katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Menurutnya lagi, statistik kemalangan kecederaan pada tahun lepas mencatatkan 25,265 kes berbanding tahun 2008 sebanyak 25,865 kes. Walaupun mencatatkan pengurangan sebanyak 600 kes namun kemalangan maut pada tahun lepas mencatatkan jumlah 6,218 iaitu peningkatan sebanyak 266 kes berbanding tahun sebelumnya.
Suret berkata, daripada jumlah keseluruhan, golongan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan pengguna jalan raya yang paling banyak terdedah dengan kemalangan jalan raya dan mencatatkan 60 peratus kematian berbanding pengguna jalan raya yang lain.
"Kebanyakan kemalangan melibatkan kecederaan parah di bahagian kepala, ini adalah kerana penunggang dan pembonceng motosikal sering kali mengabaikan pemakaian topi keledar dan topi keledar yang dipakai tidak diikat dengan kemas.
"Tambah ironiknya, pihak kami juga mendapati topi keledar yang dipakai tidak memiliki piawai SIRIM," katanya.
Justeru Suret berkata, "Operasi Bersepadu" akan dijalankan bagi menangani masalah tersebut kerana di bawah Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973, kerajaan telah mewartakan kewajipan memakai topi keledar bagi motosikal.
Tambahan pula, katanya lagi sejak 34 tahun yang lepas, didapati hanya 62 peratus penunggang dan pembonceng motosikal di Malaysia memakai topi keledar dan jika dibahagikan peratusan, di kawasan bandar mencatatkan 80 peratus yang memakai topi keledar manakala hanya 40 peratus sahaja di kawasan luar bandar.
Selain operasi untuk penunggang dan pembonceng motosikal, Ops Bersepadu XXII (22) akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula dari 3 hingga 18 Sept, manakala Ops 'Sikap' diadakan juga dalam tempoh yang sama.
"Fokus penguatkuasaan akan ditumpukan kepada sembilan kesalahan serius lalulintas termasuk memotong barisan, mengguna lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar atau kawasan larangan memotong, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar depan dan belakang, melebihi had laju, mengekori kenderaan terlalu rapat, melanggar lampu isyarat merah dan memandu secara bahaya," katanya.
- BERNAMA