Sambut Aidilfitri dengan kesyukuran, perkukuhkan perpaduan

Ibu negara, Kuala Lumpur semakin lengang. Warga kota sudah pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Inilah tradisi yang terus mewarnai sambutan Aidilfitri di negara kita.

Namun begitu, dalam perjalanan pulang dan ziarah sanak saudara, utamakan keselamatan diri dan keluarga ketika memandu di jalan raya.

Adalah menjadi satu cabaran besar kepada semua rakyat, mampukah kita mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan raya pada musim perayaan Aidilfitri kali ini?

Sejak beberapa musim Hari Raya Aidilfitri yang lalu, jumlah nahas tidak menunjukkan pengurangan. Tragedi pada musim hari raya masih tinggi.

Oleh itu, elok kita menyeru kepada semua pihak terutama syarikat bas ekspres dan pemandu kenderaan persendirian supaya berhati-hati dan mencapai tahap sifar nahas. Ia bukan mustahil dilakukan jika kita ada keazaman menjadikannya satu kenyataan.

Sempena Aidifitri ini, sambutlah dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan. Jika kita hayati maksud sebenar Aidilfitri ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan semula jadi yang suci dan murni. Dalam konteks ini, perkara yang paling dituntut ialah mengukuhkan silaturahim sambil bermaaf-maafan.

Gunalah hari-hari di bulan Syawal ini untuk mengeratkan hubungan kita sesama umat Islam dengan kunjung-mengunjungi rumah kaum keluarga serta rakan-rakan. Inilah masanya untuk kita memohon maaf zahir dan batin.

Demi kesejahteraan perpaduan nasional, janganlah kita lupa menjemput rakan-rakan bukan Islam. Melalui amalan ini, ia akan merapatkan lagi hubungan dan menjaga keharmonian sesama kita.

Lupakan salah faham hingga menyebabkan hubungan antara kaum di negara ini dilihat renggang. Di Hari Raya Aidilfitri ini, umat Islam patut hulurkan tangan persahabatan kepada kaum bukan Melayu.

Buktikanlah kepada kaum bukan Islam bahawa orang Melayu/Islam bukanlah mementingkan kaum sendiri sahaja. Agama Islam yang kita amalkan tidak menggalakkan kita bermusuhan.

Tunjukkanlah bagaimana kita umat Islam di Malaysia, walaupun terdiri daripada kaum majoriti, tetap berlaku adil terhadap masyarakat bukan Islam.

Tugas umat Islam adalah untuk membuktikan ajaran Islam yang sebenar dan bagaimana peribadi seorang Muslim yang sebenar.

Dalam menyambut Aidilfitri ini juga, tradisi majlis rumah terbuka para pemimpin terutama anjuran Perdana Menteri dan Menteri Kabinet menjadi perhatian orang ramai. Bayangkan para pemimpin kita menyambut perayaan bersama rakyat seawal Hari Raya pertama.

Kita berasa bangga jika majlis kali ini terus dihadiri oleh semua kaum daripada segenap lapisan rakyat, pemimpin parti pembangkang, kenamaan asing dan para pelancong.

Sambutan perayaan di negara kita cukup unik. Yang nyata tiada suasana sambutan seumpama ini di negara lain, apatah lagi yang terus dilanda pergolakan dan huru-hara.

Jadi ingatlah dan jangan sekali-kali kita terlupa betapa bersyukurnya kita menjadi rakyat Malaysia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url