Tindakan biadab bakar al-Quran

Secara kebetulan, ulang tahun memperingati insiden serangan Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001 jatuh pada hari kedua umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri.

Dalam insiden itu, Amerika Syarikat (AS) menuding jari kepada al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden sebagai pihak yang bertanggungjawab mencetuskan angkara itu, manakala penduduk AS dan masyarakat Barat mengaitkan tragedi tersebut dengan Islam yang dianggap sebagai agama yang menaja keganasan sekali gus memusuhi Islam dan penganutnya, setelah terpengaruh dengan dakyah yang ditabur oleh bekas Presiden AS, George W. Bush yang mengaitkan Osama dengan Islam.

Sejak tragedi itu, AS tidak henti-henti memburu Osama dan melabelkan pergerakannya sebagai rangkaian pengganas dan sejak itu juga, sentimen anti-Islam semakin berleluasa di AS, Eropah, Kanada dan Australia.

Maka tercetuslah insiden-insiden menghina Islam di merata-rata tempat terutama di AS dan Eropah termasuk penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad SAW, insiden menghina masjid dan tindakan menyekat kebebasan penduduk Islam di sesetengah negara Eropah untuk mengamalkan ajaran Islam termasuk memakai purdah bagi wanita.

Kali ini, ketika umat Islam seluruh dunia menyambut Aidilfitri bagi meraikan kemenangan menjalani ibadah berpuasa selama sebulan sepanjang Ramadan, 'musuh' Islam di AS dan Eropah mengambil kesempatan menganjurkan upacara menghina Islam bagi memperingati insiden 11 September itu.

Seorang paderi dari Florida, Terry Jones menimbulkan ketegangan global dan kemarahan umat Islam apabila mengutarakan rancangan kejinya untuk membakar 200 naskhah kitab suci al-Quran sempena ulang tahun kesembilan insiden serangan 11 September pada tahun ini sebagai membantah pembinaan pusat Islam dan masjid berhampiran Ground Zero.

Walaupun rancangan itu akhirnya dibatalkan setelah mendapat bantahan keras daripada White House dan beberapa pemimpin dunia, namun insiden menghina Islam tetap berlaku dengan tiga insiden berasingan membakar naskhah al-Quran dilaporkan diadakan di New York dan Pentagon pada 11 September yang lalu.

Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang membantah rancangan pembinaan masjid dekat Ground Zero mengoyakkan helaian al-Quran sebelum membakarnya. Di Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan Danny Allen menggunakan minyak pemetik api untuk membakar sekurang-kurangnya dua naskhah al-Quran di halaman rumahnya.

Sebenarnya, insiden menghina Islam yang dilakukan oleh segelintir penduduk AS dan masyarakat Barat bukanlah sesuatu yang dialu-alukan oleh sebahagian besar masyarakat dunia termasuk masyarakat AS dan Eropah sendiri.

Malahan sebahagian besar pemimpin dunia termasuk Obama menentang keras apabila Terry Jones muncul dengan rancangannya untuk membakar naskhah al-Quran sempena memperingati tragedi 11 September dengan memberi amaran ia akan mencetuskan bencana kepada hubungan Islam dan Barat.

Hakikatnya, Islam tidak mempunyai sebarang hubungan dengan tragedi 11 September, sekalipun Osama bertanggungjawab menyerang WTC bagi menyuarakan bantahannya terhadap sikap tidak adil AS dalam menangani isu Israel-Palestin. Dalam tragedi itu, hampir 3,000 nyawa melayang di WTC.

Islam dan majoriti umat Islam sebenarnya menentang keganasan dan tidak menyokong tindakan Osama kerana umat Islam cintakan keamanan dan Islam juga menganjurkan perdamaian.

Sebenarnya, Presiden AS sedar tindakan golongan radikal di negara itu menganjurkan upacara membakar al-Quran akan mengundang bencana besar bukan sahaja dalam hubungan Islam- Barat tetapi juga kepada keselamatan lebih 150,000 tenteranya di Iraq dan lebih 100,000 tentera negara itu di Afghanistan.

Obama turut menyedari insiden-insiden seumpama itu boleh membahayakan kepentingan-kepentingan AS di seluruh dunia terutama di Asia Barat sekiranya rangkaian al-Qaeda bertindak balas terhadap insiden membakar al-Quran itu.

Lebih-lebih lagi Obama tidak mahu ia akan menjejaskan pertemuannya dengan para pemimpin Asia Tenggara (ASEAN) sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak lama lagi, dalam usahanya membina hubungan yang lebih akrab dengan Asean yang separuh daripada penduduknya adalah penganut Islam.

Pentadbiran Obama juga tidak mahu insiden seumpama itu mengugat inisiatif rundingan damai Asia Barat antara Israel-Palestin, tajaannya.

Dalam hal ini, golongan radikal Barat harus bertanggungjawab sekiranya tindakan mereka menghina Islam dan tidak menghormati hubungan Barat-Islam akan mencetuskan kekecohan global yang lebih serius sekali gus mengundang bahaya kepada kepentingan dan penduduk Barat di dunia.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url