Kurang kesedaran punca kemalangan naik
Pelajar Ijazah Penyiaran UiTM Shah Alam
Penguatkuasaan undang-undang trafik dan peningkatan jumlah bayaran saman nampaknya belum mampu memberi impak yang tinggi dalam mendisiplinkan pemandu kenderaan di Malaysia.
Angka kematian di jalan raya semakin hari semakin meningkat. Satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan, namun kadar kemalangan jalan raya tetap tidak menurun. Walaupun Ops Sikap pada musim perayaan kali ini mencatatkan penurunan kematian daripada 18 kepada 14 kes sehari, namun ia hanya berkesan sewaktu musim perayaan saja.
Walaupun pelbagai langkah diambil kerajaan dan badan swasta untuk memberi kesedaran kepada setiap pemandu mengenai pentingnya mematuhi undang-undang jalan raya namun ia ibarat ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’. Malah, langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai program yang membuang masa dan membazir wang kerajaan.
Ungkapan kata-kata nasihat seperti ‘kelajuan itu membunuh’, ‘sayangilah keluarga anda’ dan ‘pakailah topi keledar’ ternyata masih belum berkesan dan tidak mampu meresap ke dalam minda pemandu di Malaysia.
Melalui kajian yang dikeluarkan sewaktu Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, dilaporkan 30 negara berjaya mengurangkan kadar kematian jalan raya di negara masing-masing dari 2000 hingga 2009, namun lain pula halnya dengan Malaysia.
Daripada kajian yang membabitkan semua negara, Malaysia berada pada kedudukan paling atas bersama dengan Argentina dan Kemboja dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.
Kemalangan jalan raya mengakibatkan Malaysia kerugian hampir RM9 bilion setahun dari segi kehilangan nyawa dan cedera kerana dianggarkan seorang rakyat Malaysia akan terbunuh di jalan raya setiap 1 jam 20 minit.
Hal ini juga menyebabkan negara kekurangan modal insan kerana kematian jalan raya di Malaysia juga membabitkan insan yang berkemahiran dan berpelajaran tinggi.
Apakah lagi tindakan yang boleh diambil untuk mengubah sikap pemandu Malaysia, sedangkan semua langkah sudah diambil.
Punca utama berlaku kemalangan kerana mentaliti pemandu tempatan masih di takuk lama. Kedua, pemandu Malaysia juga boleh dikategorikan sebagai ‘tidak mahir memandu’. Ayat 'tidak mahir memandu’ bolehlah dikatakan sebagai kurangnya pengetahuan mengenai ilmu asas undang-undang jalan raya seperti waktu sepatutnya memberi isyarat membelok atau pun waktu yang sepatutnya untuk memotong kenderaan lain dan sebagainya. Ketiga, dasar kerajaan terhadap saman yang sentiasa berubah-ubah.
Nilai bayaran saman masih rendah dan langsung tidak bersifat untuk menghukum pemandu yang melakukan kesalahan.
Sudahlah nilai bayaran saman boleh dikategorikan sebagai terlampau murah dan mampu dibayar oleh rakyat Malaysia tetapi apa yang lucunya mereka masih boleh mendapat diskaun untuk mengurangkan jumlah bayaran saman mereka daripada pihak berkuasa walaupun mereka melakukan kesalahan jalan raya.
Kita tidak tegas dan bersungguh-sungguh dalam misi untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.
- BERITA HARIAN