Top Ad 728x90

,

Bukit Aman sentiasa pantau orang hilang

Polis Bukit Aman sentiasa memantau ketat senarai orang hilang dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) di seluruh dunia bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa perdagangan manusia atau terbabit dalam perilaku jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata setakat ini kerjasama dengan Interpol banyak membantu dalam siasatan terutama membabitkan sindiket antarabangsa.

Bagi kes orang hilang, katanya semua kes yang dilaporkan kepada polis akan disiasat rapi bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam perilaku jenayah walaupun mangsa mendakwa melarikan diri dengan kerelaan hati.
“Jika terbukti mereka tidak terbabit dengan sebarang kegiatan jenayah, polis tidak boleh ambil tindakan tetapi akan memaklumkan kepada keluarga mereka sebab mereka buat tindakan tanpa paksaan.

“Kita bimbang jika wujud unsur paksaan seperti culik atau permerdagangan manusia seperti pelacuran. Jika mereka bersih daripada sebarang kegiatan memudaratkan, mereka bebas ke mana saja asalkan mematuhi undang-undang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan kes ramai wanita Malaysia terutama remaja bawah umur yang melarikan diri atau dilarikan teman lelaki ke luar negara terutama ke Indonesia.

Berdasarkan laman web rasmi Polis Diraja Malaysia, terdapat 311 kes orang hilang dilaporkan sejak 2004 hingga September lalu membabitkan pelbagai kategori umur. Sepanjang tempoh tiga bulan antara Julai hingga September lalu, terdapat 16 kes membabitkan gadis dan remaja bawah umur disenaraikan PDRM.
Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO percaya, ada antara kes yang dilaporkan itu berkait rapat dengan kes melarikan diri atau dilarikan warga asing untuk dijadikan isteri termasuk remaja bawah umur.

Mengulas lanjut, Bakri berkata, bagi kes remaja bawah umur, polis akan tetap mengambil tindakan walaupun mereka mendakwa melarikan diri secara sukarela kerana tertakluk mengikut undang-undang.

“Kes itu kita akan guna tindakan berbeza kerana kemungkinan mereka dipaksa. Polis boleh dakwa sesiapa yang melarikan remaja bawah umur atas tuduhan menahan, mengurung secara salah,” katanya.

Mengulas mengenai peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu menyelesaikan kes orang hilang, Bakri berkata, kerjasama erat kedua pihak mencapai tahap membanggakan dan perlu diteruskan.

Katanya, mereka bukan saja membantu mencari orang hilang dan memberikan kaunseling bahkan turut menyebarkan maklumat melalui media, melalui program anjuran mereka di seluruh negara.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90