Tabung Bencana NSTP-Media Prima dilancar
BATU KAWAN: Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan, Media Prima Berhad (Media Prima) dengan kerjasama The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) melancarkan Tabung Bencana NSTP-Media Prima di Karnival Jom Heboh TV3 di Stadium Batu Kawan, di sini semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaafar yang turut mengumumkan syarikat berkenaan akan menggerakkan sukarelawan membantu proses menyalurkan bantuan dan berharap badan awam serta syarikat korporat berganding bahu membantu mangsa bencana melalui tabung itu.
Johan berkata, antara bantuan diperlukan adalah keperluan asas seperti makanan dan minuman, alat kebersihan, selimut, makanan bayi / susu formula dan lampin, manakala sumbangan kewangan boleh disalurkan ke akaun Maybank, 5141-0532-0757 atas nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima.
Sumbangan juga boleh disalurkan melalui maybank2u, ATM, Kawanku Phone Banking, Mesin Deposit Tunai, Mesin Deposit Cek dan kaunter Maybank atas nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima.
- BERITA MINGGU