PNB: Agihan ASN3 enam sen seunit
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak enam sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Berimbang (ASN3) bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2010.
Jumlah agihan itu meningkat sebanyak 0.5 sen berbanding 5.50 sen pada tahun lalu.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan pembayaran berjumlah RM7.3 juta untuk 10,952 pemegang unit yang melanggan 121.02 juta ASN3.
Beliau berkata, ASN3 menunjukkan prestasi lebih baik pada tahun ini selaras dengan peningkatan ekonomi negara dan juga pasaran saham tempatan.
Sehingga 22 November lalu, ASN3 meraih pendapatan kasar berjumlah RM8.52 juta dengan pendapatan dividen menyumbang sebanyak RM3.02 juta atau 35.3 peratus manakala keuntungan pelaburan adalah RM3.65 juta.
Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.85 atau 21.7 juta daripada pendapatan kasar itu.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman menyifatkan jumlah pendapatan yang diagihkan itu sebagai kompetitif selaras dengan konsep tabung itu sebagai dana berimbang.
Katanya, berdasarkan prestasi sebenar, PNB berupaya membayar agihan pendapatan sebanyak 12 sen tetapi sebahagiannya disimpan untuk rizab.
Pengagihan pendapatan itu adalah berdasarkan pegangan unit sehingga pada 30 November 2010, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN3. Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula secara automatik dalam bentuk unit berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November tahun ini.
Pemegang unit yang melanggan ASN3 melalui Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun skim tersebut.
Semua urus niaga ASN3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen Amanah Saham Nasional Bhd. ditangguhkan mulai 23 November 2010 sehingga 30 November 2010 bagi tujuan pengiraan pengagihan.
Para pemegang unit itu boleh mengemas kini buku pelaburan ASN3 masing-masing mulai 1 Disember ini.
- UTUSAN