366 Cerita Rakyat Malaysia - Buku terlaris MPH Alamanda


Koleksi buku berkulit kuning setebal 286 muka surat itu tersusun rapi di atas sebuah meja. Ilustrasi seorang puteri dan putera raja, lelaki berjanggut, kapal yang belayar di lautan serta beberapa ekor haiwan seperti sang kancil, seekor merpati dan tupai menghiasi muka depan buku tersebut.

Eksekutif Jualan MPH Bookstores Sdn. Bhd., Shamsurrijal Gholib Santosa, 29, berkata, buku bertajuk 366 Cerita Rakyat Malaysia itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ia sebuah buku yang bersifat malar segar dan tidak lapuk dek peredaran zaman.

“Buku ini memaparkan kisah-kisah asli masyarakat di negara kita. Ia ditulis dengan ringkas dan mudah difahami terutamanya oleh kanak-kanak.

“Tambahan pula, ilustrasi berwarna yang disertakan bersama himpunan kisah yang ada mampu menarik minat untuk kita membacanya,” ujar Shamsurrijal sambil memberitahu golongan ibu bapa boleh menjadikan buku tersebut sebagai bahan bacaan untuk anak mereka sebelum tidur.

Tambah beliau, buku terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) itu merupakan antara buku terlaris yang direkodkan melalui jualan di MPH.

“Sejak MPH mula beroperasi di Alamanda pada hujung 2004, sebanyak 5,000 buah buku 366 Kisah Rakyat Malaysia telah berjaya dijual.

“Ini boleh dianggap satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya sambil menunjukkan buku yang berada di depannya itu.

Diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1995, buku yang diselenggarakan oleh Othman Puteh dan Aripin Said itu telah diulang cetak sebanyak sepuluh kali bermula tahun 2003 hingga 2010.

Perkara itu menjadi bukti bahawa sambutan terhadap buku tersebut begitu memberangsangkan. Apa yang pasti, kesemua kisah yang terdapat di dalam buku ini diceritakan semula oleh 26 individu bergelar penulis.

Mereka yang terdiri daripada Abdullah Jalil Awang, Amin Minhad, Aripin Said, Awang Abdullah, Azmah Nordin, Ghazali Ngah Azia, Hamzah Dua, Hashim Mohamad, Ismail Restu, Jais Sahok, Mahaya Mohd. Yassin, Mohd. Ismail Sarbini, Mohd. Kasim Mahmud, Muhibah Ayob, Norhisham Mustaffa, Osman Ayob, Othman Mohd. Rasul, Rahimidin Zahari, Ramli Mat Akil, Rejab Ismail, Safiullah KN, Sahul Hamid Salim Mastan, Salim Taib, Salleh Kidam, Shariff Putera dan Zakeria Embi.

Kisah bulanan

Intisari ceritanya pula merangkumi kisah bulanan dari pelbagai negeri di Malaysia. Contohnya, jika bulan Januari mempunyai 31 bilangan hari, maka terdapat 31 koleksi kisah yang boleh dibaca sepanjang bulan tersebut.

Antaranya seperti Kisah Pelanduk Berani Negeri Terbilang dari Melaka, Siapa Lebih Bijak, Kedah; Gajah Yang Setia, Perak; Awang Yang Lurus, Perlis; Asal Usul Pekan Teluk Sengat, Johor; Raja Kuyuk, Sabah; Pekasam Mata Harimau, Selangor; Awang Mata Berdener, Kelantan; Seuncang Padi, Pahang; Mabuk Laut Mabuk Darat, Pulau Pinang; Gajah Bermata Kecil, Negeri Sembilan; Buntat Teloh, Sarawak; dan Batu Penyu, Terengganu.

Turut dimuatkan adalah puisi atau gurindam tradisional yang mampu membuatkan pembaca terkenang zaman kecil masing-masing.

Tidak ketinggalan, pembaca juga boleh menjana pengetahuan mengenai bendera Malaysia dan bendera negeri-negeri yang dipaparkan di beberapa helaian terakhir buku tersebut. Ia turut dilengkapi maklumat seperti maksud lambang dan warna bagi setiap bendera.

Jadi, jangan ketinggalan untuk mendapatkan buku 366 Cerita Rakyat Malaysia di gedung buku MPH Alamanda Putrajaya.

Sehingga 17 Disember 2010 ini, MPH Alamanda menganjurkan Jualan Pesta Buku MPH sempena sambutan Hari Krismas. Diskaun sehingga 50 peratus boleh didapati untuk koleksi buku berbahasa Inggeris yang ditetapkan.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url