Jangan Meremehkan Sedekah Orang
Dari Abu Mas’ud r.a katanya:”kami diperintah Rasulullah s.a.w supaya bersedekah sedangkan kami hanya sebagai buruh kasar atau kuli.
Namun Abu Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lainnya mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja namun lebih banyak dari itu.
Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata:”Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah itu dan ini. dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riya’ semata-mata.”
Kerana ucapan mereka itu maka turunlah ayat :”(orang-orang munafik iaitu) mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka.
Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan mebalas penghinaan mereka itu dengan siksa yang pedih.” (at-Taubah:79)
Huraian :
Allah SWT Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya. Apa yang nyata keislaman seseorang tidak diukur oleh luasnya ilmu agama yang dimiliki.
Tidak juga diukur oleh kekuatan ibadah semata. Tetapi keislaman itu diukur pada orang yang paling ikhlas dalam agamanya termasuk dalam bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin yang sebenar akan sanggup menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara orang munafik pula akan sanggup menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia