Remaja perlu suntikan agama elak keruntuhan moral lebih serius

Oleh HASNAH HUSSIIN

Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang


Dewasa kini kita dikejutkan dengan penglibatan remaja dalam rompakan, pembunuhan, buli, maksiat, rempit dan lain-lain kegiatan tidak bermoral yang sememangnya membimbangkan kita sebagai warga negara Malaysia yang telah lebih 50 tahun merdeka.

Sama ada kita sedari atau tidak, golongan remaja inilah yang akan menerajui tampuk pemerintahan pada masa hadapan. Barangkali apa yang telah berlaku ini memberikan kita isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena atau perlu kita perbaiki terutamanya dalam sistem pendidikan kita pada hari ini.

Jika kita lihat kepada sistem pendidikan kita pada hari ini, rata-rata menekankan kepada pendidikan sains, teknologi dan maklumat. Memang tidak dinafikan zaman ini merupakan zaman sains dan teknologi maklumat, justeru itu kita diseru agar berlumba-lumba untuk maju dalam bidang tersebut.

Semua orang mahu memastikan diri mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi dan teknologi maklumat. Ada pula yang merasakan jika mereka tidak dapat menguasai arus globalisasi ini, mereka akan dikira sebagai ketinggalan zaman dan buta teknologi.

Hasilnya kita dapati kursus-kursus teknologi maklumat mendapat pengiktirafan, kajian-kajian mengenai teknologi juga begitu giat dijalankan dan telah menang di peringkat kebangsaan dan juga luar negara. Nampaknya rakyat negara ini betul-betul celik teknologi dan kini sudah setanding dan tidak kalah dengan negara barat. Syabas diucapkan!.

Sememangnya pendidikan itu berfungsi untuk membangunkan sahsiah dan fizikal seseorang. Dalam hal ini, kita sepatutnya tidak boleh berat sebelah dengan menekankan kepada pendidikan untuk kemajuan fizikal semata-mata iaitu yang kita lihat pada masa kini kemajuan lahiriah.

Pendidikan juga perlu menekankan aspek rohani di mana aspek atau nilai kemanusiaan perlu ditanam dalam jiwa kanak-kanak daripada sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Inilah yang perlu dikaji semula dalam sistem pendidikan kita pada hari ini. Pendidikan yang tidak seimbang akan melahirkan generasi yang tidak seimbang juga dari aspek rohani dan jasmani. Apa yang kita nampak kini adalah ketidakseimbangan pembangunan negara dengan pembangunan insan.

Kita memang tidak boleh menafikan pembangunan yang dikecapi oleh negara Malaysia masa kini jika dibandingkan dengan zaman dahulu. Memang sesiapa pun akan tabik dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia setakat ini.

Mat Salleh yang dulunya tidak tahupun wujudnya Malaysia kini sudah tahu Malaysia adalah sebuah negara yang aman, makmur dan kaya raya. Melihatkan kepada pencapaian Malaysia dalam hal ini, sudah tentulah kita akan merasa malu dengan peningkatan jenayah yang kebanyakan dilakukan oleh para remaja kita sendiri. Apa yang perlu kita lakukan dalam sistem pendidikan kita hari ini?

Sebenarnya jika kita menyelidik kepada masalah yang dihadapi dan dilakukan oleh para remaja masa kini adalah disebabkan kurangnya pendidikan agama. Agama membimbing manusia ke arah jalan yang diredhai. Agama mengajar manusia mana yang baik dan mana yang buruk.

Kurangnya didikan agama atau tidak mendapat didikan agama langsunglah yang menjadi penyebab mengapa berlakunya maksiat di kalangan remaja begitu berleluasa dan juga melakukan perkara-perkara yang dilarang agama seperti merompak, ragut, mencuri yang terang-terang dilarang oleh agama.

Kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada ibu bapa dan pusat tusyen memainkan peranan ini. Sekolah dan IPT adalah tempat yang asas untuk mendidik dan menyemai pendidikan keagamaan kepada anak-anak dan remaja. Malangnya, pendidikan agama dilihat tidak ada "nilai" bagi sesetengah pihak kerana ia tidak boleh memberikan seseorang itu kekayaan, kesenangan dan sanjungan. Justeru itu, pendidikan agama seakan-akan disisihkan dalam sistem pendidikan kita.

Rasanya masa sudah tiba untuk kita memartabatkan pendidikan agama ini sebaris dengan subjek-subjek yang lain di semua peringkat pengajian. Ini adalah selari dengan negara kita negara Islam dan Islam agama rasmi negara.

- UTUSAN


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url