Bermadu kena bijak, matang
Teringat pesanan ibu, kalau rasa diri tidak 'bijak dan matang' maka jangan sesekali cuba untuk hidup bermadu.
'Bijak dan matang' yang dikaitkan dengan bermadu itu membawa maksud cukup mendalam kerana bukan calang-calang wanita berjaya yang boleh menatang pesanan ini dengan sempurna.
Sekali gus pesanan ini sebenarnya amaran untuk mana-mana wanita muda, janda atau balu supaya tidak mudah terpana dengan rayuan cinta suami orang sehingga terjebak ke alam hidup bermadu.
Jika telah ditakdirkan masih juga gagal untuk menghalang jodoh yang terlalu kuat untuk bermadu maka persiapkan diri dengan sebaik mungkin.
Ini kerana sudah menjadi lumrah di dalam poligami, bukan sahaja antara isteri berlumba-lumba untuk menambat hati suami malah akan berdepan dengan tekanan berganda.
Kehidupan bermadu di zaman ini juga semakin kronik berbanding zaman dahulu memandangkan rata-rata wanita sebenarnya tidak bersedia.
Apatah lagi apabila 'bertemankan' suami yang dari perkahwinan pertamanya juga masih belum sempurna tetapi dengan tanpa rasa bersalah mahu membina perkahwinan yang seterusnya.
Dunia yang pada mulanya disangka indah akhirnya mula dipenuhi dengan cabaran yang mula membuatkan kehidupan semakin menjadi haru-biru.
Ada yang melakukan pelbagai usaha termasuk sanggup mendapatkan bantuan bomoh sehingga terjebak dengan perbuatan syirik.
Bagi yang tidak sabar pula, sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan termasuk mencederakan madu dan anak-anaknya tanpa ada perasaan belas kasihan.
Ini termasuk kes terbaru yang mana hanya kerana perselisihan faham, seorang suri rumah sanggup menetak madunya dengan parang sehingga cedera di rumah mereka di Kampung Baru Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah pada 7 Januari lalu.
Dalam pergaduhan kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Siti Aminah Hanafi, 50, yang juga isteri pertama, cedera di dahi, pipi dan tangan setelah ditetak madunya berusia 26 tahun.
Anak mangsa, Nurul Shuhada Saad, 16, turut cedera di kaki akibat terkena libasan parang itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
Peristiwa seperti ini sepatutnya membuka mata masyarakat Islam di negara ini supaya tidak memandang remeh isu ini walaupun hidup bermadu itu dihalalkan.
Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya menjalankan amanah menguruskan kesemua ahli keluarganya dengan sempurna dan jangan sampai mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.
Islam sudah meletakkan panduan bermadu dengan cukup sempurna tetapi sayangnya bukan sahaja suami bersikap 'lepas tangan' sebagai ketua keluarga tetapi gagal mendidik isteri.
Pensyarah Kaunseling dan Naib Setiausaha Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama), Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon berkata, hidup di alam poligami bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kepada pengorbanan suami, isteri dan madu.
''Bukan itu sahaja, ia akan memberi kesan kepada struktur keluarga seperti anak, ibu bapa, mertua dan yang berkaitan,'' katanya.
Maka apabila aspek seperti emosi, kewangan, penjagaan anak, ahli keluarga dan kesihatan diri tidak dapat dikawal dengan baik, ia boleh mewujudkan konflik dan apabila tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pergaduhan.
Hidup dalam tekanan memang sesuatu yang biasa bagi seorang isteri, apatah lagi bagi seorang madu. Ini kerana dalam bermadu lebih banyak hati yang perlu dijaga, termasuk hati sendiri.
Perjalanan hidup keluarga wanita bermadu juga lebih kompleks. Tekanan juga tidak sama bagi setiap wanita.
Sama ada bekerja atau seorang suri rumah, wanita bermadu mempunyai masalah tersendiri. Ada wanita yang lebih kuat dari wanita lain kerana setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza.
Masalah timbul apabila emosi tidak dapat dikawal kerana tekanan yang tinggi. Kebiasaannya, tekanan yang dihadapi oleh wanita bermadu memang lebih. Apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengurus tekanan.
Sehubungan itu, kata Sapora, langkah yang perlu diambil oleh wanita yang hidup bermadu khususnya bagi menyesuaikan suasana kehidupan setelah sebahagian kebahagiannya selama ini dirampas oleh wanita lain.
"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia bukan sahaja melibatkan soal hati, tetapi perkara-perkara lain seperti kewangan dan hak," jelasnya.
Antara langkah yang boleh diambil ialah menerima takdir dan menganggap bahawa ia sebahagian daripada kehidupan yang perlu dilalui. Perbaiki kerosakan yang dideritai hati akibat takdir ini.
''Fokuskan kerja-kerja memperbaiki kelemahan diri dan memahami suara hati antara sesama isteri,'' katanya.
Pegangan agama mesti menjadi kekuatan antara mereka. Peranan suami sebagai pemimpin diharapkan boleh menyelesaikan kemelut dan konflik dengan terapi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Jika mana-mana ahli tidak dapat menyesuaikan diri dalam hidup bermadu, keadaan menjadi sukar.
Tujuan perkahwinan di antara seorang mukmin dan mukminah adalah untuk menguatkan iman, memudahkan kerja-kerja ibadah kepada Allah SWT dan menyucikan keperibadian, di samping menurunkan zuriat yang soleh.
Apabila suami turut mempunyai iman yang lemah, isteri mesti memiliki kemampuan sendiri untuk menciptakan suasana harmoni, meletakkan segala-galanya atas kuasa Allah SWT dan berusaha berdiri di atas kaki sendiri.
- UTUSAN