Dol Ramli diingati sebagai pengasas RTM
Bekas ketua pengarah penyiaran Tan Sri Dol Ramli yang meninggal dunia malam tadi kerana mengalami masalah lemah jantung pada usia 88 tahun, akan terus diingati sebagai seorang yang besar jasanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dilahirkan pada 3 Oktober 1922 di Dunlop Street, Singapura, Dol memulakan alam persekolahannya di Kampung Glam Malay School, Singapura dan mendapat pendidikan tinggi di Raffles College, Singapura pada 1941.
Sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, beliau pernah menjadi guru selama tiga tahun sebelum menjadi penterjemah Melayu untuk Press Intelligence Office dari 1946 hingga 1948.
Allahyarham pernah menjadi jurubahasa untuk Mahkamah Daerah dan penyampai penterjemahan, perkhidmatan Melayu, Radio Malaya pada 1948 sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya Singapura pada 1951 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Kelas Kedua Atas dalam Sejarah).
Kerjaya Allahyarham Dol dalam bidang penyiaran bermula dengan menjawat jawatan Ketua Perkhidmatan Melayu, Radio Malaya pada 1955 sebelum diberi kepercayaan sebagai rakyat Malaysia pertama memegang jawatan Ketua Radio Malaya selepas persaraan David Lyttle pada 1961.
Allahyarham terbabit dalam penubuhan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak, Asia Pasific Institute of Broadcasting Development dan memperkenalkan siaran radio luar negara yang dikenali sebagai Suara Malaysia.
Allahyarham yang menulis lirik lagu "Bahasa Jiwa Bangsa" pernah berkhidmat di Perbadanan Penyiaran British (BBC) dan Perbadanan Penyiaran Australia dari 1969 hingga 1974.
Allahyarham menjadi Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dari 1975 hingga 1980 dan turut terlibat dalam mencadangkan pembinaan Wisma Bernama dan penubuhan cawangan Bernama di setiap negeri di Malaysia, selain membuka pejabat di luar negara seperti di Manila, Bangkok dan Singapura serta memperkenalkan Perkhidmatan Foto Bernama.
- Bernama