Muhasabah diri hindari sifat fajir

RASULULLAH SAW mendedahkan, dalam hakikat perjuangan Islam, wujudnya golongan manusia yang bergelumang dengan maksiat, melakukan kemungkaran, berjiwa munafik serta memang tidak beriman, tetapi turut serta berjuang menegakkan syiar Islam.

Riwayat Al-Bukhari menyatakan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah menguatkan agama dengan lelaki yang fajir (jahat).” Menyentuh mengenai maksud fajir ini, sebahagian ulama Islam berpendapat yang dimaksudkan itu adalah orang berilmu dan berakal tetapi tidak beramal dengan ilmunya itu sedangkan orang lain pula yang mendapat faedah daripada ilmu yang diajar olehnya.

Selain itu, golongan pemerintah yang zalim juga turut tergolong dalam kumpulan manusia fajir.

Di dalam sejarah perjuangan Islam dari zaman dulu hingga sekarang terdapat banyak contoh yang menunjukkan manusia yang bersifat ‘fajir’ ini dapat mengabui pandangan orang Islam dengan perjuangan mereka yang gigih untuk menegakkan Islam. Mereka ini sering melaungkan kata-kata berbentuk perjuangan tetapi sebaliknya lain pula tindakan yang dilakukan yakni langsung tidak bersamaan dengan pandangan atau ilmu yang dilontarkan.

Hadis riwayat Muslim menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan para syahid umatku adalah orang yang mencari nama. Dan betapa ramai yang terbunuh antara dua barisan, Allah sahajalah yang mengetahui dengan niat masing-masing.” Oleh itu, ramai antara umat Islam yang hanya ‘berjihad’ untuk kepentingan diri saja dengan alasan menyebarkan ilmu serta dakwah Islam tetapi pada masa yang sama, tidak mempraktikkannya dalam kehidupan mereka.

Sebagai umat Islam, kita sebenarnya perlu bermuhasabah diri dan melihat kembali perbuatan yang kita lakukan sehari-hari.

Ini sebagaimana hadis tadi yang menyatakan bahawa kebanyakan orang berilmu hanya menurunkan ilmunya tetapi gagal mengamalkan ilmunya itu.

Kebanyakan berasakan sempurna dengan ilmu yang diamalkan tanpa pernah melakukan muhasabah diri dan melihat kesilapan yang dilakukan seperti meninggalkan perkara kecil yang sebenarnya adalah tanggungjawab mereka.

Di dalam Islam, kita dituntut untuk melakukan muhasabah diri dengan menilai, memeriksa serta menghitung kesilapan yang dilakukan sebagaimana Rasulullah yang menyatakan ia cara terbaik mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sebahagian ulama salaf mengatakan: “Seseorang daripada kamu yang bermuhasabah dirinya sendiri adalah lebih hebat daripada muhasabah seorang teman terhadap temannya.” Ini menunjukkan amalan bermuhasabah terhadap diri sendiri adalah sangat penting dan diiktiraf oleh ulama kerana individu yang bermuhasabah dirinya tentu mengakui kesilapan diri sendiri. Oleh itu, sebagai makhluk yang lemah dan sentiasa terdorong untuk tunduk kepada bisikan syaitan, kita cenderung untuk lebih mengambil berat mengenai kesihatan, kekuatan dan keindahan fizikal, hingga melupakan tanggungjawab untuk sentiasa menyuburkan hati dengan mengingati Allah, mengingati mati dan memperbaiki diri. Disebabkan terlalu sibuk dengan urusan dunia yang tidak habis-habis, kita mengabaikan hati dan keperluan rohani. Kita sibuk mengumpul harta bagi mengisi keperluan hidup di dunia dan ada kalanya, harta itu tidak pula mendatangkan manfaat kepada kita, malah melalaikan kita daripada mengingati Allah. Jadi, seharusnya, sebagai seorang yang mengakui beriman dan berilmu, hendaklah kita berhati-hati daripada sifat ‘fajir’ dan juga bersifat ‘riya’ yang membolehkan segala amalan terhapus dan terlepas daripada ciuman bau syurga kerana setiap sekecil-kecil perbuatan sekalipun tetap akan dihitung dan diazab Allah SWT kelak.

- METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url