Pegawai tadbir, Mohd Azahar calon BN Tenang
MOHD AZAHAR (bersongkok) dan isteri, Tuty Roshizana Tumin bersama Ahmad Maslan (kanan) dan ahli BN Labis menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas pengumuman calon BN DUN Tenang di Rumah UMNO Labis, Johor.
LABIS: Pemilihan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya kecil 30 Januari ini kerana parti itu yakin beliau akan diterima baik dan disokong pengundi.
“Pucuk pimpinan UMNO juga membuat pertimbangan berasaskan latar belakang calon mewakili generasi muda serta kewibawaannya yang turut memiliki Diploma Pentadbiran Awam dan Sarjana Muda Sains Politik,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Berbekalkan kewibawaan sebagai pegawai tadbir dengan latar belakang keluarga serta pembabitannya dalam politik sebelum ini, semua faktor positif beliau dijangka dapat diterima pengundi.
“Semua lapisan kepemimpinan UMNO bahagian juga menyokong dan membantu beliau, walaupun ketika ini Mohd Azahar tidak memegang sebarang jawatan dalam bahagian,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman di hadapan kira-kira 1,000 penyokong BN, di pekarangan Pejabat UMNO Labis, semalam.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Presiden GERAKAN, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Tengku Adnan Mansor.
Mohd Azahar, 39, adalah anak bekas Ketua UMNO Bahagian Labis, Ibrahim Daud, yang menjadi ADUN Tenang antara 1999 hingga 2004.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemilihan Mohd Azahar tidak bermakna parti menafikan kepemimpinan peringkat bahagian, sebaliknya ia pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN untuk meletakkan calon yang diterima semua pihak.
“Jawatan dalam parti adalah aspek yang diberi pertimbangan, tetapi kita mengemukakan calon terbaik yang diterima semua pihak dan pengundi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, UMNO Johor mengambil pendirian menyokong penuh keputusan pucuk kepemimpinan dan berusaha memastikan kemenangan BN.
“Saya minta setiap lapisan dan kepemimpinan UMNO Labis dan di Tenang mengukuhkan perpaduan parti serta memberi sokongan kepada calon diputuskan Perdana Menteri. Ini adalah antara tradisi yang amat murni dan mulia di Johor. Apabila Presiden parti memilih calon, semua komponen dan kepemimpinan UMNO serta BN akan menyokong,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata pencapaian Mohd Azahar ketika pembabitannya dalam Pemuda UMNO Labis membuktikan beliau mendapat sokongan akar umbi.
- BERITA HARIAN