Suria FM Labur Wang RM20,000 Untuk Pendengar
Stesen radio Suria FM mengatur pelbagai program menarik pada tahun 2011 termasuk memperkenalkan peraduan ‘Demam Facebook Suria’ yang mempertaruhkan hadiah wang tunai sejumlah RM20,000.
Bermula 22 Januari lalu, pendengar berpeluang menyertai peraduan tersebut dengan hanya klik ‘like’ pada ‘fan page’ Suria FM dan mengemas kini gambar profil kepada logo ‘I Love Suria FM’.
Syaratnya mudah, pendengar hanya perlu mengemaskinikan status asing-asing dengan memberikan pendapat terbaik tentang stesen radio itu.
Kemudian pendengar perlu mendengar Breakfast@Suria dan Suria Drive setiap hari bermula Isnin, 24 Januari hingga 18 Februari ini kerana penyampai Halim Othman, Zizi, Sharifah Shaira dan Linda Onn akan mengumumkan nama pendengar bertuah.
Selepas itu, pendengar tersebut mesti menghubungi Suria FM dalam masa 15 minit untuk memenangi wang tunai yang ditawarkan.
Nama pemenang yang terpilih setiap hari dalam dua segmen tersebut akan menerima wang tunai RM500.
Selain itu, stesen radio dengan ‘tagline’ ‘Muzik Terbaik 90-an Dan Terbaru’ itu menganjurkan program realiti ‘SuriaShowDown! Band Kampus Terbaik 2011’ yang terbuka kepada penuntut di institut pengajian tinggi swasta dan awam seluruh Malaysia.
Uji bakat sedang diadakan di Penang Megamall, Pulau Pinang pada Sabtu ini, East Cost Mall, Kuantan (30 Januari), The Zone, Johor Baru (5 Februari) dan Plaza Metro Kajang (6 Februari).
Dua kumpulan yang terpilih di setiap tempat akan memasuki peringkat akhir pada 26 Februari ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Pemenang akan membawa pulang wang tunai RM10,000 manakala tempat kedua sebanyak RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.
Seperti tahun sebelumnya, Suria FM turut meneruskan peraduan ‘Lagu Berduit Suria FM’ bermula Mac ini dengan menawarkan hadiah lumayan.
Selain itu, Suria FM untuk negeri Sabah secara rasmi akan beroperasi apabila studionya di 1Borneo Shopping Mall, Kota Kinabalu yang dikendalikan oleh Othoe dan Dudu (Lotter) secara rasminya akan keudara mulai Mac ini.
- MSTAR