Tanpa Ph.D Tidak Bererti Seseorang Tidak Boleh Mengajar Dengan Baik

Oleh Dr Fauziah Mohd Noor

Teringat saya kepada satu kata-kata Allahyarham Prof Ahmad Ibrahim di antara pengasas Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Menurut beliau, jika seorang pensyarah itu tidak mempunyai Doktor Falsafah (Ph.D), bukan bermakna seseorang itu tidak boleh mengajar dengan baik.

Adakalanya seorang pensyarah tanpa Ph.D mempunyai mutu pengajaran yg lebih baik di dalam pengajaran berbanding dengan pensyarah yang mempunyai Ph.D.

Saya sesekali tidak pernah dan tidak akan menyanggah kata-kata tersebut. Bahkan saya bersetuju seratus peratus dan kalau saya diberi pilihan pada tahun 1997.

Persoalannya mahu buat Ph.D atau tidak? saya mungkin memilih tidak, kerana terlalu banyak yang perlu dikorbankan.

Sebagai contoh, suami terpaksa bercuti tanpa gaji selama 3 tahun dan anak sulung pula ketinggalan dalam pelajaran selama 3 tahun. (kerana polisi waktu itu mewajibkan Ph.D dari universiti di luar negara)

Tetapi untuk mereka yang memilih untuk menjadi pensyarah universiti terutamanya di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), perkara ini menjadi satu kewajiban.

Tanpa Ph.D, mereka boleh diminta supaya berhenti atau memilih kerjaya lain. Oleh kerana itu setiap pensyarah universiti perlu menyambung pelajaran ke tahap Ph.D, walaupun ada diantara mereka yang berat hati untuk berbuat demikian.

Namun tidak dinafikan terdapat juga pensyarah yang memang bercita-cita menyambung pelajaran ke tahap doktor falsafah kerana mereka memang mempunyai minat untuk menyambung pelajaran dan cinta kepada pelajaran.

Bagaimanapun, jika hanya ingin mengejar sekeping kertas kerana inginkan gelaran 'doktor' pada pangkal nama hingga ada yang menipu dengan membeli gelaran tersebut, atau mengupah orang lain untuk membuat kajian dan menulis tesis, perjuangan itu tidak mempunyai makna.

Bagi saya, jika seseorang itu ingin menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, biarlah niatnya ikhlas kerana mencari ilmu dan bukan kerana gelaran yang bakal diterima serta mengharapkan orang lain lebih hormat pada mereka.

Bagi saya, jika ada pihak yang berfikir dengan mempunyai gelaran doktor boleh memberikan kemewahan kepada mereka, saya rasa mereka telah tersimpang jauh dari matlamat sebenar.

Melalui pengalaman, saya pernah dijemput sebanyak tiga kali menjadi ahli panel di dalam perbincangan di dua buah stesyen televisyen (isu Aids, poligami dan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tetapi tidak pernah diberi sebarang hononarium kecuali secawan teh dan sekeping kuih.

Kenalan saya pernah berkata, "Rugilah macam tu, Fauziah. Habis tenaga, habis duit minyak dan habis masa."

Tetapi bagi saya itu adalah peluang saya berbakti kepada masyarakat.

Kalau bercakap tentang gaji, hakikatnya gaji mereka yang mempunyai Ph.D tidak setinggi mana dan atas dasar itu apabila penuntut-penuntut di universiti saya bertanya tentang gaji pensyarah yang memegang Ph.D, saya memberitahu mereka;

"kalau kamu nak buat duit dengan jadi pensyarah, lupakanlah. kalau kamu nak jadi kaya, pilihlah profesion lain yang lebih menjanjikan pulangan yang lumayan. Pensyarah hanya sesuai utk mereka yang cintakan ilmu dan suka belajar dan mengajar. Biarlah apa yang kita buat kerana Allah Ta'ala"

Semakin banyak yang kita pelajari akan semakin tahu berapa jahilnya kita dan berapa kerdilnya kita kerana banyak lagi ilmu yang kita tidak tahu.

Ph.D bukan untuk bermegah-megah dan bukan untuk mencari nama. Semoga Allah memberkati kita semua dalam apa jua yang kita lakukan. Maaf jika ada tutur kata yang menyinggung perasaan.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url