Membudayakan sunnah Nabi
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21)
Lantaran itulah, umat Islam diperintahkan oleh Allah supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah dalam segala lapangan kehidupan.
Sunnah Nabi, sebuah istilah yang kerap didengari serta tidak asing kepada masyarakat Islam.
Bahkan, ada orang yang sanggup meggunakan istilah sunnah Nabi dalam usaha menghalalkan tindak-tanduknya yang tidak betul.
Ada pula yang tidak mahu mengamalkan apa yang dikatakan sunnah itu kerana menganggapnya sebagai biadaah atau menunjuk-nunjuk.
Yang menjadi persoalannya, adakah umat Islam benar-benar faham atau sejauhmanakah pemahaman mereka terhadap perkara ini? Apa perkaitan antara sunnah dengan bidaah? Adakah semua sunnah nabi itu wajib atau mesti diikuti? Bagaimana pula dengan sunnah yang dikatakan bidaah?
Felo Penyelidik di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid menjelaskan, apabila disebut sunnah Rasulullah, pemikiran dan pemahaman umat Islam hari ini ialah hal-hal kecil dalam kehidupan seperti soal janggut, serban, jubah, makan menggunakan tangan dan mungkin bab berpoligami.
"Sunnah dari segi bahasa bermakna satu jalan yang dibuat, sama ada bermatlamat baik ataupun buruk.
"Dari segi istilah ia adalah sunnah yang baik yang dibuat oleh Nabi dan kita ikut. Ia terbahagi kepada dua. Ada yang wajib diikut dan ada yang sama ada boleh kita ikut atau tidak kita ikuti.
"Walau bagaimanapun, kalau diikuti, mungkin kita mendapat pahala. Yang tidak dikehendaki ialah apabila kita mengikut benda yang tidak wajib tetapi kita paksa orang lain ikut juga.
"Di situlah menjadi bidaah kerana benda itu adalah sunat tetapi kita mewajibkannya.
"Di bidang perundangan, apabila disebut sunnah, ia merujuk kepada apa-apa yang disandarkan kepada nabi - perbuatan, perkataan waima takrir (diam) sekalipun. Contohnya, Khalid bin Walid memakan biawak pasir sedangkan nabi tidak memakannya.
"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah. Baginda sekadar mendiamkan diri. Ini bermakna, benda itu halal," kata Mohamad Kamil.
Namun katanya, perkara sunnah Rasulullah yang hendak dibincangkan di sini ialah sunnah lawan bidaah.
Tegasnya, bidaah bermaksud apa-apa perkara agama atau ibadat yang direka-reka. Tetapi ia sebenarnya tidak ada dalam agama.
Misalnya, orang yang melebih-lebih dalam ibadat. Contohnya seorang itu memilih menjadi pemakan sayur atau vegetarian dengan alasan menjaga kesihatan.
Hal itu memang tidak menjadi masalah. Tetapi jika dia berniat dengan tidak memakan daging menyebabkan ibadatnya lebih kuat atau lebih dekat dengan Tuhan, itu sudah tergolong sebagai bidaah.
Sunnah pula ialah apa yang Nabi lakukan. Pun begitu, apa yang dilihat dan difahami oleh orang awam mengenai sunnah Nabi itu terang Mohamad Kamil, bermakna apa yang dibuat oleh Nabi itu mesti diikuti. Sedangkan sebenarnya tidak begitu.
"Sunnah Nabi itu terbahagi kepada dua iaitu, pertama, perlu diikut dan kedua, Nabi buat sebagai manusia biasa.
"Contohnya, Nabi memakai tongkat, ia satu sunnah dan kita boleh mengikutnya. Tetapi jangan pula kita memaksa orang lain memakai tongkat.
"Ini kerana, pada ketika itu tongkat itu adalah keperluan nabi sebagai manusia biasa. Di situlah kadang kala timbul kesilapan orang.
"Begitu juga dengan jumlah tangga pada mimbar Nabi iaitu sebanyak tiga tingkat. Itu sunnah tapi janganlah sekarang kita hendak menjadikannya wajib atau satu kemestian iaitu mimbar mesti ada tiga tingkat. Ini kerana keperluan pada masa itu, tiga tangga pun, baginda boleh bercakap pada jemaah yang ada kala itu.
" Yang sebelum ini atau pada asalnya, Nabi berkhutbah di atas sebatang pohon tamar. Tetapi apabila semakin ramai jemaah, mimbar Nabi telah ditinggikan kepada tiga anak tangga.
"Begitu juga dengan orang yang makan menggunakan tangan. Itu adalah satu daripada sunnah. Tetapi bukan pula bermaksud tidak sunnah apabila orang itu makan menggunakan sudu dan garpu.
"Sama halnya juga dengan makan di atas meja atau memakai jam pada tangan kiri kerana perkara ini tiada kaitan dengan agama," jelas beliau.
Menjelaskan lagi perihal sunnah Nabi itu Mohamad Kamil menerangkan, dalam bab keduniaan, Islam lebih menggalakkan kreativiti atau tuntutan untuk membuat benda-benda baru.
Manakala dalam ibadat pula, janganlah terlebih mahupun terkurang. Ia mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan.
Jadi jelas, kata Mohamad Kamil, orang Islam sepatutnya lebih kreatif.
"Sayangnya masyarakat Islam kita sekarang lebih suka mereka-reka berkaitan perkara ibadat," katanya.
Sebab itu beliau tidak hairan sunnah Nabi berkaitan hal yang kecil terlalu diberi penekanan.
Padahal ada sunnah berkaitan bagaimana berurusan dalam soal keadilan, menjaga hak wanita, hak kanak-kanak, hak warga emas dan hal-hal yang besar, bukan hal-hal yang remeh-temeh.
Jantung kita lemah
Ini sekali gus kata beliau, menunjukkan kedangkalan kefahaman orang Islam terhadap maksud sunnah yang sebenar.
Ia dikelirukan dengan penerangan daripada orang agama yang menekankan isu-isu remeh-temeh.
"Sebenarnya, ada sunnah yang besar, ada sunnah yang kecil. Selama ini orang Melayu Islam terlalu membesarkan yang kecil dan pada masa sama, meremehkan yang besar.
"Kalau ditanya, apa dia sunnah yang besar? Jawapan saya ialah sunnah mendidik anak. Lebih-lebih pada zaman sekarang yang mana kita dicabar dengan pelbagai masalah dan kekangan arus pemodenan.
"Di samping itu, sunnah menggalakkan membaca yang meliputi menyelidik, merenung, memahami dan sunnah yang mengajak kepada perpaduan dan banyak lagi.
"Seperkara lagi, orang Islam mula berpecah-belah apabila roh atau sunnah solat berjemaah itu diabaikan.
"Masjid itu adalah jantung masyarakat. Jadi, saya membuat analogi bahawa jantung kita lemah. Jadi masyarakat Islam sekarang ini dibaratkan seperti orang yang berpenyakit lemah jantung," katanya
Katanya, antara contoh lain sunnah yang perlu dihidupkan ialah bagaimana Nabi menjaga hak kaum wanita. Tetapi di Malaysia, akui Mohamad Kamil, wanita memang terlibat dalam pelbagai bidang.
Namun realitinya kata beliau, wanita masih dianggap golongan kelas kedua tetapi bukan di lapangan kerjaya tetapi dari sudut agama, termasuk apabila wanita tidak layak mengajar kaum lelaki.
"Secara tersurat, kita kata kita sama terutamanya dari segi duniawi. Tetapi dari segi agama, wanita tidak diberikan hak.
"Berbeza pada zaman Rasulullah, di mana peranan Aisyah begitu ketara. Sama ada pada waktu hidup Rasulullah dan setelah ketiadaan baginda," katanya.
Mohamad Kamil berharap, sunnah diamalkan dalam kehidupan setiap umat Islam itu terutama dalam bentuk etika, adab, akhlak dan tingkah laku.
"Kalau sekiranya seseorang itu bertindak ikut sunnah dia tidak akan mudah melenting dan cepat marah.Sebaliknya bersopan santun dan lemah lembut.
"Manakala yang tidak ikut sunnah, bahasanya kasar, celupar dan tidak menghormati antara satu sama lain ketika berlaku perselisihan.
"Hakikatnya, sunnah ini boleh meresap masuk menjadi akhlak kita. Itulah yang ramai terlepas pandang.
"Apa yang berlaku sekarang ini, masyarakat hanya membincangkan isu-isu sunnah yang kecil dan remah temeh dan meninggalkan yang besar.
"Contohnya sunnah belajar, Nabi sudah kata (belajar) dari buaian hingga mati. Begitu juga belajar hingga ke negeri China, walaupun ada yang mengatakan ia hadis daif .
"Ini bermakna sunnah belajar ini sepanjang hayat dan ke mana sahaja tanpa mengira jantina," kata beliau.
Malah perlu diperjelaskan kata Mohamad Kamil, sekiranya sunnah itu tidak termasuk dalam perkara ibadat tetapi ia termasuk cara beribadat, ini bermakna ia boleh berkembang.
Sekarang ini yang menjadi masalahnya ialah orang tidak dapat membezakan ibadat dan cara beribadat.
Jelas beliau, ibadat memang tidak boleh diubah tetapi cara beribadat itu boleh dikembangkan.
Contohnya dalam perkahwinan, yang tidak boleh diubah ialah syarat-syarat sah sebuah pernikahan. Ia wajib dipatuhi.
Tetapi sunnah membuat kenduri itu boleh berubah mengikut kemampuan supaya tidak berlaku pembaziran. Ia kembali kepada uruf atau adat masyarakat.
"Begitu juga timbul perbalahan tentang sambutan Maulidur Rasul. Segelintir pihak meletakkannya sebagai bidaah. Tetapi jika kita mengambil prinsip Nabi itu disayangi, dikasihi, hatta orang yang dekat dalam hidup kita seperti ibu bapa, suami isteri atau anak-anak, kita meraikan mereka, maka inikan pula junjungan Nabi Muhammad SAW. Cumanya bagaimana cara meraikannya itu kena betul. Sekiranya ada berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dan pembaziran, itu tidaklah wajar. Tetapi jika diraikan dengan berselawat, ceramah agama dan menjaga adab-adab Islam itu sesuatu yang baik. Selain itu, ia memperdekatkan masyarakat.
"Sayangnya yang menimbulkan kekeliruan ini adalah kalangan orang yang beragama itu sendiri. Sekiranya membidaah ini berlaku sewenang-wenangnya, maka yang tinggal hanya solat, zakat, puasa dan haji sahajalah. Islam sudah memberi kepada kita prinsip dan ruang tetapi dari segi teknikalnya terletak kepada kreativiti," kata beliau.
- UTUSAN