Akhlak pemimpin cermin keperibadian rakyat
Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM
Mungkin ada antara kita pernah mendengar atau pernah mengucapkan ungkapan 'Bukan mudah menjadi pemimpin'. Amat benar ungkapan ini. Tugas kepemimpinan bukan saja menentukan hala tuju masyarakat yang dipimpin dan meletakkan negara pada tempat selesa di arena antarabangsa, tetapi pemimpin dan kepemimpinan juga menentukan keadilan; bukan saja keadilan sosial, tetapi juga keadilan kepada Allah SWT.
Sekiranya pembaca perhatikan itulah antara sebab ilmuwan Islam sentiasa memberi perhatian kepada perkara berkaitan pemimpin dan kepemimpinan. Banyak teori dan falsafah berkaitan kepemimpinan yang telah dilunas dan didebat. Antara ilmuwan atau ahli falsafah yang banyak membincangkan perkara ini termasuk al-Farabi atau al-Ghazali.
Saya tidak berniat untuk mengulas keseluruhan idea yang dipegang oleh mereka, sama ada al-Farabi, al-Ghazali atau lain-lain di ruangan ini. Saya cuma ingin menyampaikan satu perkara penting yang sentiasa disebut ilmuwan untuk kita renungi dan fikirkan bersama.
Perkara itu ialah akhlak. Akhlak adalah inti pati agama Islam. Secara harfiah perkataan ‘akhlak’ bermaksud budi pekerti, kelakuan atau tabiat. Bagi ahli falsafah, akhlak dikatakan sebagai ‘penyatuan antara perkara rohani dan jasmani tanpa boleh dipisahkan’. Pengertian ini bermaksud, tabiat atau keperibadian seseorang itu bergantung kepada agama atau rohani, yang tidak boleh dipisahkan daripada jasmaninya.
Ia menyimpulkan kedua-duanya (rohani dan jasmani) bagi menzahirkan watak yang tulus, adil, berilmu dan bijaksana sebagai pemimpin. Sifat inilah yang akan membantu rakyat untuk membina institusi kepemimpinan negara yang baik.
Dari suatu sudut lain, akhlak terdiri daripada dua aspek, iaitu aspek peribadi dan akhlak dalam perkara umum. Akhlak peribadi merujuk kepada pembawaan tabiat atau sifat diri sebagai seorang individu, manakala akhlak umum ialah akhlak dalam tindakan kepimpinan – atau dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
Dalam melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan, kita hendaklah menyatukan antara kedua-dua aspek akhlak ke dalam setiap prinsip berkaitannya. Ini bermaksud bukan saja akhlak dalam mengendalikan keseluruhan aspek kepemimpinan (akhlak umum) yang menjadi perhatian ilmuwan, tetapi akhlak peribadi juga sentiasa diberi perhatian.
Oleh itu, sebagai individu, setiap pemimpin hendaklah mengamalkan akhlak atau peribadi yang istimewa, seperti adil, bijaksana dan merendah diri. Pendek kata, pemimpin hendaklah mengamalkan budi pekerti yang mulia. Mereka mestilah sentiasa lebih mulia daripada orang yang dipimpinnya.
Perlu saya sebut bahawa, walaupun peribadi mulia atau akhlak mulia bukanlah satu syarat yang tertulis dalam mana-mana undang-undang secara harfiah, saya pasti, seluruh lapisan masyarakat (terutama di alam Islam dan Melayu) mengetahui dan menganggap akhlak sebagai satu elemen penting di dalam kepemimpinan. Seperti yang saya sebut di atas, akhlak adalah inti pati agama Islam, yang menjadi rujukan kepada majoriti masyarakat kita.
Hatta dalam sistem demokrasi yang tidak menyebut secara terang-terang tentang keutamaan akhlak di dalam kepemimpinan juga meletakkan akhlak di tempat penting. Dalam prinsip kebertanggungjawaban contohnya, akhlak adalah antara ciri utama seorang pemimpin. Prinsip ini memperkenalkan teori tanggungjawab individu (individual responsibility), yang mana seseorang hendaklah meletakkan jawatan sekiranya dia tidak mengamalkan akhlak mulia.
Atas dasar ini seperti yang kita maklum, ramai pemimpin dunia yang tersungkur kerana kegagalan menjaga akhlak peribadi. Ramai juga yang tersungkur kerana akhlak umum yang rendah dan tidak berdaya untuk terus menjadi pemimpin yang dihormati rakyat.
Dalam apa juga sistem, akhlak yang mulia boleh dianggap sebagai undang-undang tidak bertulis yang menjadi dasar kepada seluruh sistem pentadbiran.
Walaupun bukan mudah menjadi pemimpin, bukan mudah juga untuk menjadi rakyat. Rakyat, seumpama pemimpin, perlulah juga berakhlak mulia. Selain itu, mereka perlu berilmu, bijaksana dan mengamalkan pekerti mulia.
Rakyat hendaklah menilai akhlak pemimpin dan seterusnya menentukan sama ada mereka mempunyai keupayaan dan kebolehan untuk memimpin. Ini wajib dilakukan oleh rakyat supaya institusi kepemimpinan yang dipilih boleh membawa negara ke mercu kejayaan, kestabilan dan keredaan yang Maha Kuasa.
Saya teringat kata-kata hikmah yang dirakam dalam sebuah kitab tasawwuf terkenal. Kata-kata hikmah itu menyebut, antara lain, rakyat adalah penentu kepada kualiti pemimpin. Dalam kata lain kualiti kepemimpinan sesebuah negara itu bergantung kepada kualiti rakyatnya kerana rakyat yang memilih pemimpin.
Menurut kata hikmah di dalam kitab tasawwuf itu lagi, pemimpin yang dipilih rakyat itu adalah yang secocok atau sepadan dengan keadaan rakyatnya. Barisan kepemimpinan adalah cermin kepada rakyatnya.
Walaupun disandarkan kepada dasar yang berbeza, prinsip sama juga wujud dalam teori demokrasi yang mengiktiraf rakyat sebagai political sovereign.
Pendek kata, tugas rakyat dan tugas pemimpin ada persamaannya dari aspek kepentingan, cuma tanggungjawab mereka yang berbeza. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu mengamalkan akhlak yang mulia.
- BERITA HARIAN