45% Bahan TVi dari Sarawak, Sabah
Semasa merasmikan pelancaran TVi, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkhidmatan itu diwujudkan hasil kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro.
Katanya, isu-isu, berita dan rancangan terkini yang melibatkan remaja juga akan dijadikan keutamaan.
“Kebanyakan isiannya mengenai Sabah dan Sarawak. Hanya sesegmen kecil dari punca-punca lain. Tetapi ini tidak bermakna berita asas-asas nasional tidak diberi,” katanya kepada pemberita selepas perasmian saluran itu di Auditorium RTM di sini.
Beliau berkata, sebagai permulaan iaitu selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak, kementerian akan membekalkan 2,000 alat dekoder untuk penduduk di pedalaman supaya golongan itu turut dapat menikmati program-program saluran tersebut.
Hadir sama Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Awang Ali dan Exco Penerangan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad.
— BERNAMA