Hukum hudud terhalang jika ada unsur syubhah

Oleh Shamrahayu A Aziz
Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Persoalan berkaitan pembuktian dan penghakiman bukan perkara mudah. Ia hanya boleh dibuat menerusi proses tertentu dan bersandarkan prinsip tertentu saja. Ia hendaklah dilakukan oleh orang yang berkelayakan. Tidak semua orang boleh membuat penghakiman dan seterusnya menjatuhkan hukuman.

Seseorang yang dilantik menjadi hakim diberikan amanah dan kepercayaan untuk mengendalikan kes menurut paksi undang-undang. Ini menjadikan jawatan hakim seumpama telur di hujung tanduk. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud (secara ringkasnya): “Terdapat tiga golongan hakim, tetapi hanya satu saja yang akan masuk syurga. Ia adalah golongan hakim yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menghukum mengikut ilmu pengetahuannya.”

Satu lagi hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan kepayahan menjalankan tugas kehakiman ialah: “Seseorang yang dilantik menjadi hakim seolah-olah dia dibunuh tanpa pisau.”
Kedua-dua hadis ini menjadikan jawatan hakim dalam Islam bukan saja diselubungi peraturan ketat dalam proses mahkamah, tetapi juga etika tertentu dalam pergaulan. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya ada banyak tulisan berkaitan ‘adab al-qadhi’ atau etika hakim dalam Islam.

Oleh itu, mahkamah adalah mekanisme terbaik untuk menentukan penerimaan atau penolakan sesuatu fakta sebagai keterangan dalam proses perbicaraan. Masyarakat keseluruhannya hendaklah menghormati dan mempercayai keputusan mahkamah.

Saya menyebut mengenai perkara ini kerana ada pihak yang ada kalanya mendahului mahkamah dalam penerimaan atau penolakan sesuatu fakta sebagai keterangan. Walaupun perkara berkaitan sudah lama berlaku di negara ini, kehangatan perkara ini semakin menjadi-jadi. Bahkan ada ceramah di masjid yang membuat andaian tertentu mengenai kedudukan undang-undang mengenai sesuatu isu.

Saya tidak bermaksud memperkecilkan mereka yang tidak terdidik dalam bidang berkaitan untuk memberikan pandangan. Mungkin mereka membaca dan membuat rujukan.
Namun, masalah yang mungkin wujud ialah mereka yang tidak berkepakaran mungkin memberikan gambaran sebahagian kecil saja, sedangkan prinsip lain yang lebih terperinci tidak dihuraikan. Kegagalan menghuraikan prinsip terperinci (terutama dalam kes kompleks) akan mendatangkan banyak salah faham di kalangan khalayak.

Secara kiasannya, bolehkah seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan ubatan membuat preskripsi ubatan kepada pesakit yang mempunyai penyakit kompleks? Jawapannya sudah tentu tidak boleh.

Secara kiasan lagi, sekiranya pesakit hanya mengalami penyakit darah tinggi, ubatan yang perlu diberikan mungkin agak mudah berbanding ubatan yang perlu diberikan kepada pesakit yang mempunyai pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, buah pinggang dan sebagainya. Oleh itu, kita memerlukan doktor pakar untuk membuat preskripsi ubatan kepada pesakit yang mengalami penyakit yang kompleks.

Ada kalanya perkara asas diketahui oleh orang ramai, (seperti mengambil paracetamol untuk menghilangkan demam). Namun, apabila demam menjadi serius dan penyakit menjadi kompleks, ubatan asas mungkin perlu digantikan dengan ubatan lain yang ada kalanya di luar jangkauan mereka yang hanya berpendidikan asas. Pesakit memerlukan lebih daripada paracetamol dan mereka mestilah merujuk kepada doktor pakar. Begitu juga dalam bidang undang-undang.

Perlu saya sebut bahawa prinsip undang-undang seperti prinsip dalam bidang lain ada kalanya mempunyai perincian dan pengecualian tertentu.

Adakalanya prinsip asas akan berubah mengikut keadaan kes. Seumpama pembuktian zina dalam hukum hudud Islam yang sedang hangat diperkatakan.

Seperti diketahui khalayak, zina hendaklah dibuktikan dengan empat saksi atau pengakuan tertuduh. Sekiranya kesalahan zina tidak dapat dibuktikan dengan salah satu daripada dua cara ini, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan.

Namun, ini tidak bermakna tertuduh boleh bebas begitu saja kerana kegagalan orang yang menuduh membawa empat saksi atau tertuduh enggan membuat pengakuan bersalah.

Dalam keadaan ini, tertuduh masih boleh didapati bersalah bagi kesalahan takzir zina sekiranya ada bukti yang kukuh dan diterima oleh mahkamah dalam proses pembuktian atau perbicaraan. Oleh itu, tertuduh masih boleh dihukum dengan hukuman lebih rendah daripada hukuman hudud zina. Dalam kata lain, suatu kesalahan hudud (seumpama kesalahan zina) boleh dihukum dengan hukuman takzir kerana kekurangan bukti mengikut hukum syarak bagi mensabitkan kesalahan hudud.

Sementara itu, prinsip umum lain ialah sekiranya seseorang menuduh seorang lain melakukan zina dan gagal membawa empat orang saksi, maka dia boleh didapati bersalah kerana kesalahan hudud qazaf.

Namun, sekiranya orang yang menuduh itu membawa keterangan selain daripada empat orang saksi dan keterangan itu pula disahkan pakar dalam bidang berkaitan dan diterima mahkamah, maka dia mungkin boleh terlepas daripada hukuman hudud qazaf. Dengan wujudnya keterangan lain (selain daripada empat orang saksi), ini mendatangkan syubhah atau keraguan.

Syubhah menjadikan sesuatu kesalahan hudud tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud. Kesalahan qazaf juga adalah kesalahan hudud yang perlu dielakkan hukuman hudud sekiranya wujud syubhah. Tetapi ini tidak bermakna seseorang yang menuduh boleh dilepas dan dibebaskan begitu saja, dia mungkin boleh didapati bersalah oleh mahkamah. Namun dia tidak boleh dihukum dengan kesalahan hudud qazaf kerana timbulnya syubhah.

Prinsip ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jauhkanlah (daripada melaksanakan) hukuman hudud sekiranya ada syubhah.”

Syubhah ini mungkin sedikit saja, tetapi hukum hudud masih perlu dielakkan. Semoga khalayak lebih berhati-hati dalam menilai dan menerima pandangan berkaitan undang-undang dan tidak hanya menerima sebarang pandangan sewenang-wenangnya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url