LHDN mahu lebih mesra terhadap pembayar cukai
Ramai beranggapan membayar cukai pendapatan membebankan, sehingga ada individu yang sanggup menangguhkan pengisytiharan, memalsukan dokumen dan 1,001 macam tindakan dengan harapan mereka terlepas. Malah masih ramai yang berasakan tugas mengisytiharkan itu sukar kerana kerenah birokrasi, kakitangan yang tidak mesra, tidak tahu cara mengisi borang dan lebih buruk lagi mempersoalkan keperluan membayar cukai dengan alasan mereka penat berusaha untuk mendapatkan pendapatan itu.
Gagal memahami tujuan sebenar menyebabkan segelintir masyarakat memandang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai sebuah agensi kerajaan yang tidak mesra dan ‘memeras’ rakyat dengan cara mengenakan potongan cukai pendapatan yang dirasakan tidak berpatutan.
Menyedari keperluan itu, LHDN sentiasa berusaha memperkenal kaedah terbaik memudahkan pembayar cukai. Seiring dengan anjakan teknologi hingga sanggup melabur untuk menyediakan kemudahan aplikasi seperti e-Filing, e-Bayaran, e-Daftar, e-PCB (potongan cukai bulanan), e-Kemaskini, e-Data PCB dan dua aplikasi terkini iaitu lejar elektronik pembayar cukai (e-Lejar) dan pindahan dana berelektronik (EFT) semata mata untuk memudahkan urusan percukaian. Ia penting kerana setiap kutipan mewakili 50 hingga 60 peratus daripada pendapatan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Shukor Mahfar, berkata perlakuan mengelak daripada mengisytiharkan pendapatan hanya akan menyusahkan diri individu mahupun syarikat berkaitan. Mereka sanggup berdepan semua kepayahan hanya kerana mahu mengelak daripada mengisytiharkan pendapatan. Pada hal di negara ini cukai hanya dibayar 26 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan selepas mengambil kira pelepasan untuk setiap perbelanjaan yang dikira tidak perlu dicukai.
“Kami mempunyai kemampuan untuk menjejak rekod enam tahun terdahulu dan itu jika tidak membabitkan kes penipuan tetapi jika ia kes penipuan kami mampu menjejaki setiap pendapatan yang diperoleh, menerusi sistem pihak ketiga, sama ada rakan kongsi perniagaan, menerusi pembelian aset mahupun apa saja bentuk maklumat yang boleh membuktikan pendapatan sebenar,” katanya yang mengakui agak sukar untuk sesiapa mencabar maklumat yang dikemukakan pihaknya kerana ia berdasarkan fakta dan angka yang tepat.
Shukor mengakui antara matlamat utama beliau selaku pengemudi agensi terbabit ialah memastikan imej LHDN bersih dan penuh integriti agar dipercayai terutama oleh pembayar cukai. Selama ini LHDN lebih menonjolkan imej yang digeruni hanya kerana kemampuan mereka menguatkuasakan peraturan untuk mengerahkan pembayar cukai mengisytiharkan pendapatan mereka.
“Sebagai organisasi kerajaan yang menjadi penyumbang teratas pendapatan negara, seharusnya bertindak pantas kerana terlambat bertindak memberi kesan kepada pendapatan negara oleh kerana ini statusnya ditukar kepada LHDN sejak 14 tahun yang lalu tujuannya adalah untuk memastikan cara kerja lebih cekap sama seperti agensi swasta, ” katanya.
Justeru, menjadi tanggungjawab LHDN untuk tampil dengan imej yang lebih mesra dan menggunakan pendekatan yang lebih baik dalam usaha untuk mendidik dan menjalankan penguatkuasaan undang undang.
“Saya namakan pendekatan ini sebagai ‘stick and carrot’. ‘Carrot’ bermaksud, lebih menekankan usaha untuk kelihatan lebih mesra pelanggan dan menggalakkan mereka untuk datang berinteraksi terus dengan menggunakan tiga elemen iaitu pertama pendidikan pembayar cukai, ia penting kerana keadaan sistem percukaian di negara kita yang sentiasa berubah iaitu kesan daripada perubahan ekonomi dan dasar kerajaan.
Setiap kali ketika bajet dibentangkan di Parlimen, pasti semua orang ternanti-nanti pengumuman cukai terbaru atau insentif. Jika ada, ia menjadi tanggungjawab LHDN untuk menjelaskan kepada pembayar cukai terutama perkara berkaitan cukai baru serta undang undang yang terbabit.
Selain itu, setiap tahun sebanyak 10 peratus pertambahan daripada jumlah semasa pembayar cukai baru yang perlu mendapat penjelasan berhubung tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.
“Kami mempunyai strategi tersendiri untuk mendidik mereka. Sebagai contoh, kepada majikan kami akan menjelaskan apa tanggungjawab baru mereka di bawah undang-undang baru begitu juga sebaliknya kepada pembayar cukai individu dan seterusnya syarikat,” katanya yang mengakui cabaran kian meningkat saban tahun.
Agensi itu juga pernah menganjurkan pertandingan menulis untuk menerapkan kefahaman terhadap tanggungjawab membayar cukai di kalangan pelajar sekolah rendah. Diikuti pertandingan pidato untuk pelajar tingkatan enam disamping kerjasama dengan kementerian pelajaran supaya menambah sukatan pelajaran percukaian demi untuk menanamkan kesedaran tanggungjawab membayar cukai.
“LHDN juga dalam usaha untuk memaklumkan kepada pembayar cukai agar menyemai di dalam diri mereka bahawa membayar cukai itu sebagai satu tanggungjawab untuk memenuhi aset masyarakat bukan satu beban. Ini kerana setiap pembayar cukai yang layak memperoleh pendapatan adalah hasil daripada kemakmuran negara. Tidak semua orang membayar cukai hanya golongan yang pendapatannya mencecah tahap kelayakan.
Tambahan pula, setiap kemudahan dan infrastruktur yang ada perlu berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan negara mencapai tahap negara membangun dan bila berada pada kedudukan ini sudah pasti rakyat akan berasakan setiap pembangunan yang ada adalah hasil sumbangan mereka. Sejajar dengan usaha transformasi ekonomi dan negara maju yang ingin di capai kerajaan menjelang 2020 yang hanya tinggal sembilan tahun saja lagi,” katanya.
“Justeru, jika maklumat itu tidak difahami sebaiknya oleh pembayar cukai dan masyarakat, mana mungkin negara bakal mencapai Wawasan 2020. Oleh itu, amat penting untuk setiap pembayar cukai bersama LHDN di dalam usaha untuk mencapai taraf negara berpendapatan tinggi dan maju, bersesuaian dengan slogan LHDN, ‘Bersama Kami’ (Be With Us),” katanya.
Pendekatan kedua dan ketiga pula berbentuk bantuan serta perkhidmatan untuk pembayar cukai. Kedua, saling berkaitan dan penting kerana ia membabitkan tanggapan masyarakat terhadap kakitangan LHDN, terutama kepada petugas di kaunter. Imej mereka amat penting kerana mereka adalah wajah LHDN.
- BERITA HARIAN