Petronas lancar minyak transmisi automatik


PUTRAJAYA 21 April - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan minyak transmisi automatik pertamanya, ATF-XP3 hari ini hasil kerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas).

Minyak berkualiti tinggi itu yang mula dipasarkan esok, sesuai untuk kereta Proton model Saga (1985-2007), Saga BLM, Iswara, Wira, Satria, Satria Neo, Pesona dan Exora.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Mohamad Shukor Ibrahim berkata, ATF-XP3 merupakan perintis kepada usaha Proton untuk menghasilkan minyak pelincir sendiri pada masa depan.

Katanya, Proton telah memeterai perjanjian Membekal dan Teknikal Komersial dengan anak syarikat Petronas iaitu Petronas Dagangan Bhd. (PDB) bahagian minyak pelincir pada tahun lalu.

Beliau berkata, perjanjian selama 10 tahun tersebut, meliputi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan minyak pelincir yang sesuai dan mampu meningkatkan keupayaan enjin Proton.

''Selepas ATF-XP3, kami akan melancarkan minyak enjin berkualiti tinggi sendiri tidak lama lagi bagi kegunaan domestik dan juga eksport.

"Kerjasama Proton dengan Petronas sudah bermula sejak tahun 1985 lagi, tetapi selepas perjanjian tersebut kerjasama yang lebih jitu telah dimeterai bagi kebaikan bersama,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran ATF-XP3, dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar PDB, Shobri Abu Bakar.

Mohamad Shukor berkata, pasaran minyak transmisi automatik dianggarkan melebihi 700,000 liter setahun dan pihaknya optimis ATF-XP3 mampu memberi pulangan kepada Proton.

Sementara itu, Shobri berkata, PDB telah menjalankan proses R&D hampir setahun ke atas ATF-XP3 bagi memastikannya mampu memberi prestasi yang terbaik untuk pengguna.

"Antara kelebihan ATF-XP3 adalah pertukaran transmisi yang lebih lancar, memanjangkan hayat sistem transmisi dan memberi prestasi optimum pada suhu tinggi serta rendah,'' jelasnya.

ATF-XP3 dijual pada harga RM29.96 di Semenanjung Malaysia manakala RM30.46 untuk Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) berkaitan automotif yang mungkin dilaksanakan tahun depan, Mohamad Shukor berkata, perkara tersebut memberi sedikit impak kepada Proton.

"Proton mungkin bersedia sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi. Kita perlu meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan untuk terus bersaing,'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url