Tingkatkan perkhidmatan kesihatan mental masyarakat

Pandangan IKIM

SATU perkara yang merunsingkan kita semua apabila dianggarkan ramai penduduk di negara ini akan mengalami pelbagai bentuk gangguan berkaitan kesihatan mental menjelang tahun 2020.

Ini adalah anggaran yang telah dinyatakan oleh sebuah laporan akhbar pada 17 Ogos tahun 2005 di mana pada tahun 2020 itu nanti, penyakit mental dianggarkan akan menjadi penyakit nombor satu negara.

Negara kita telah melalui tempoh masa hampir 30 tahun sejak Kementerian Kesihatan memulakan satu kajian buat julung kali dikenali sebagai Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan iaitu bermula pada tahun 1986. Berdasarkan kepada hasil kajian berkaitan yang terkini iaitu yang ketiga pada tahun 2006, didapati trend gangguan kesihatan mental yang mengundang kepada pelbagai gejala penyakit mental di kalangan rakyat menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan.

Ia menjadi amat serius apabila diberitakan oleh satu laporan akhbar bertarikh 20 Mac 2011 di mana setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia akan menjadi gila.

Jika benar dan andai gila itu dirujuk kepada skizofrenia, maka seorang dari lima individu negara ini akan menghidapi skizofrenia. Begitu juga jika gila itu ditakrifkan sebagai post partum depression (gila meroyan), maka akan ada seorang dari setiap lima orang wanita yang lepas bersalin itu akan gila meroyan.

Dan jumlah ini belum termasuk lagi bagi kategori gila judi, epilepsi (sawan atau juga gila babi) dan sebagainya. Memandangkan negara kita mempunyai 27 juta penduduk, ini bermakna di negara kita sekarang ini sudah sedia ada seramai 5 juta orang gila, sama ada gila skizofrenia, gila bipolar, gila kemurungan, gila meroyan, gila babi atau gila judi.

Walau apa jua jenis gila, terutamanya gila yang dikatakan berpunca akibat daripada stres atau tekanan, permasalahan hidup dan sebagainya, ia tetap mampu menjejaskan kesihatan mental dan akan semakin bertambah pada setiap masa. Sudah pasti apabila kestabilan kesihatan mental itu terjejas, maka risiko untuk menghidapi penyakit mental (full blown mental illness) juga akan turut meningkat.

Dari segi patologi penyakit mental, pada peringkat awalnya, ia lebih menjurus kepada keadaan yang dikenali sebagai gangguan kesihatan mental. Gangguan ini biasanya adalah kecil dan ringan sahaja, tidak mendatangkan kesakitan atau kepayahan yang ketara dalam kehidupan harian individu itu. Akibatnya ia seringkali diabaikan dan kurang diberi perhatian.

Namun ia sebenarnya mampu meningkatkan lagi risiko seseorang itu untuk menghidapi penyakit mental yang lebih serius jika rawatan awal tidak diberi. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes seperti ini, keputusan bagi mendapatkan rawatan penyakit mental biasanya adalah keputusan terakhir dan sudah terlewat serta apabila penyakit itu telah mencapai tahap serius. Akibatnya, usaha pemulihan menjadi lebih sukar.

Jika ditinjau lagi anggaran jumlah pesakit mental di negara ini berdasarkan kepada laporan akhbar tersebut yang mengatakan kini terdapat seramai 5 juta pesakit mental di negara ini, tetapi jumlah kes penyakit mental yang dirujuk untuk rawatan di hospital-hospital kelolaan Kementerian Kesihatan pula menunjukkan kepada kita bahawa tidak sampai suku juta pun.

Bagi mereka yang prihatin dalam isu kesihatan mental masyarakat, situasi ini sememangnya pasti akan mencetuskan kehairanan dan suatu tindakan yang bersungguh-sungguh serta agresif mesti dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

Kajian dan pemerhatian perlu segera dijalankan bagi mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Pendekatan tunggu dan lihat serta berdiam diri hanya akan memburukkan lagi keadaan dan akan menghalang sebarang usaha bagi mewujudkan penjagaan kesihatan mental yang sempurna kepada masyarakat.

Dalam beberapa kajian oleh negara-negara maju berhubung kurangnya masyarakat yang menggunakan perkhidmatan kesihatan mental mendapati ia berpunca dari stigma negatif terhadap penyakit dan pesakit mental. Malah, stigma negatif ini diwarisi dan tersebar ke seluruh pelosok dunia termasuklah di negara ini.

Persepsi negatif masyarakat ini merupakan punca utama betapa tegarnya masyarakat dalam menafikan hak mereka sendiri untuk memperbaiki keadaan kesihatan mental mereka.

Walaupun beberapa usaha untuk mengurangkan stigma dilakukan, seperti mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan mental ke dalam sistem penjagaan kesihatan utama negara telah dimulakan, namun keadaan yang serupa tidak berlaku di dalam sistem komuniti setempat.

Perlu ada usaha untuk mengintegrasikan sistem perkhidmatan kesihatan mental di peringkat komuniti yang diterajui oleh pihak berkaitan seperti Pihak Berkuasa dan Kerajaan Tempatan, Pusat Kesihatan Kecil atau Daerah, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Persatuan-persatuan Penduduk, NGO, dan sebagainya.

Mekanisme pelaksanaan usaha ini perlu difikirkan bersama di peringkat nasional agar integrasi sistem ini di dalam komuniti berjaya, bukan sahaja menjamin kesihatan mental yang baik masyarakat, tetapi juga mengurangkan stigma berkaitan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url