Satu individu dua personaliti
Bagi peminat filem sekitar tahun 90-an, tentu masih ingat dengan Primal Fear, sebuah filem pembunuhan kejam yang dilakonkan oleh Richard Gere dan Edward Norton.
Filem adaptasi novel nukilan William Diehl yang dihasilkan pada tahun 1993 itu mengisahkan seorang peguam, Martin Vail (lakonan Gere) bertanggungjawab membela seorang budak altar, Aaron Stampler (Norton), yang menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Biskop Katolik.
Ketika awal pembelaan, Vail sangat percaya anak guamnya itu tidak bersalah dan kesal dengan pendakwaraya, Janet Venable, iaitu bekas kekasih Vail sendiri.
Daripada penyelidikan yang dilakukan, peguam itu mendapati Ketua Biskop menerima banyak ugutan bunuh daripada beberapa individu yang marah dengan keputusannya yang tidak mahu pembangunan dijalankan di tanah gereja.
Selain itu, Vail juga mendapati Ketua Biskop juga pernah mencabul beberapa budak altar termasuk Stampler sendiri. Bagaimanapun, bukti tersebut tidak kukuh. Perbicaraan yang berjalan seakan tidak memihak kepada Stampler dan pandangan awam turut mengatakan dia hampir bersalah.
Suatu hari, ketika Vail berdepan dengan anak guamnya dan menuduh dia menipu, Stampler tiba-tiba berubah personaliti seratus peratus dan menjadi seorang yang beremosi bernama Roy. Dia mengaku membunuh Ketua Biskop dan mencederakan Vail dengan cara mencampakkan ke dinding.
Bila insiden itu berakhir, Stampler seakan langsung tidak ingat peristiwa tersebut. Dia dibawa ke pakar psikiatri. Stampler disahkan menderita kecelaruan pelbagai personaliti berikutan pengalaman didera bapa ketika kecil.
Watak Aaron Stampler merupakan satu contoh keadaan seseorang yang mengalami personaliti bercanggah atau juga disebut dissociativeidentity disorder (kecelaruan identiti terpisah - DID). Kadangkala masalah tersebut juga dirujuk sebagai kecelaruan pelbagai personaliti (MPD).
Pakar Psikiatri dari Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, DID adalah penyakit mental yang menyebabkan pengidapnya mempunyai sekurang-kurangnya dua identiti jelas (boleh jadi lebih) atau keadaan personaliti yang berubah-ubah dalam waktu yang berlainan.
"Memang keadaan begini berlaku dan bukan satu rekaan. Mereka yang mempunyai masalah ini tergolong dalam masalah kecelaruan personaliti. Namun disebabkan peratusan sangat rendah iaitu sekitar 1 atau 2 peratus daripada mereka yang mengalami masalah mental secara keseluruhan, DID jarang disebut," katanya.
Individu dengan DID kata beliau, didapati mempunyai keadaan personaliti berbeza dari segi penampilan, reaksi, emosi, mimik muka malah nadi dan tekanan darah juga boleh berlainan. Mereka juga boleh lupa dengan watak yang satu lagi pada satu ketika.
Jelas beliau, seseorang yang mengalami masalah tersebut mempunyai karakter lebih daripada satu dengan pakej kecelaruan personaliti berlainan.
Antara masalah kecelaruan personaliti yang sering berlaku adalah paranoid, skizofrenia, borderline, melingeringue dan narcissistic.
Di Malaysia katanya, masalah DID jarang disebut tetapi di luar negara misalnya, pembunuh bersiri mungkin boleh dikaitkan dengan masalah itu.
Ditanya adakah penghidap DID biasanya mempunyai rekod jenayah kata beliau, ia tidak semestinya namun sekiranya berlaku, ia lebih mudah dikesan.
Menurutnya, pengesanan sukar dijalankan kerana bukti yang tidak kukuh dan soal personaliti adalah sesuatu yang bersifat subjektif. Biasanya ia mengambil masa yang lama iaitu lebih daripada tujuh atau lapan tahun.
Punca
Pembentukan personaliti seseorang itu bermula ketika remaja dan kanak-kanak, kata Dr. Muhammad Muhsin.
Biasanya mereka yang mempunyai DID berpunca daripada penderaan fizikal dan seksual ketika kanak-kanak dan remaja. Mereka membesar sebagai seorang pendendam dengan jiwa yang tertekan.
Perasaan marah sentiasa ada dalam diri dan sedikit demi sedikit memori tersebut akhirnya membentuk satu karakter berlainan daripada karakter utama.
Ramai yang tidak percaya individu terbabit mempunyai masalah mental dan beranggapan mereka hanya berlakon atau berpura-pura. tetapi sebenarnya keadaan itu berkaitan dengan masalah DID.
Individu yang didiagnos dengan DID menunjukkan simptom yang berbeza-beza dari satu masa ke semasa. Ia boleh berlaku daripada keadaan sedikit yang sukar dikesan sehingga boleh menjejaskan keseluruhan watak.
Peringkat pengembangan berkaitan DID diteori seperti berikut:
1. Kanak-kanak didera oleh penjaga yang sangat dipercayai (biasanya ibu bapa atau penjaga) dan ingatan terhadap kejadian itu bertindih kerana hubungan yang masih terjalin.
2. Memori dan perasaan terpisah di bawah sedar dan akan dirasai kemudian dalam bentuk personaliti berasingan.
3. Proses berlaku berulangkali pada masa berlainan. Maka pelbagai personaliti dibentuk, yang terbina daripada peristiwa berbeza. Ia dipersembahkan kepada fungsi yang berbeza sama ada baik atau merosakkan.
Percanggahan personaliti menjadi mekanisme penting individu tersebut bila berhadapan dengan situasi yang tertekan.
Menipu juga DID?
Dr. Muhammad Muhsin berkata, orang yang sering menipu untuk kepentingan sendiri juga sebenarnya mempunyai masalah yang berkaitan dengan kecelaruan personaliti dan DID.
Misalnya masalah melingeringue atau factitious disorder, yang mana berkecenderungan untuk menipu demi kepentingan sensiri.
"Individu jenis ini mempunyai sesuatu yang hendak dicapai dalam hidup dan melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu misalnya untuk mendapat bantuan atau pangkat," katanya.
Antara contoh yang paling mudah adalah individu yang berbohong di mahkamah untuk mengelak daripada hukuman atas kesalahan tertentu misalnya dengan berpura-pura sakit mental dan sebagainya. Tetapi bila dijalankan ujian, individu itu langsung tidak mempunyai masalah tersebut.
Contoh kecelaruan personaliti yang lain pula kata Dr. Muhammad Muhsin, adalah narcissistic iaitu cenderung menceritakan kebaikan diri sendiri. Misalnya, seorang pemimpin yang ego dan merasakan dirinya telah melakukan banyak kebaikan dan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kedudukannya.
Namun katanya, keadaan itu agak subjektif kerana sebagai manusia biasa sesiapa pun pastinya akan menjaga kepentingan sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan orang lain.
Ditanya sama ada individu homoseksual juga tergolong dalam DID kata beliau, ia boleh berlaku.
Disebabkan seks itu sendiri merupakan satu pembentukan karakter, maka seseorang yang memiliki dua karakter seks mempunyai kecelaruan personaliti.
Hal itu juga berlaku kepada mereka yang bertukar jantina.
- MINGGUAN MALAYSIA