Mengkaji sejarah manusia


Foto MUZIUM NEGARA

Bukan sesuatu yang mustahil ada kalangan rakyat Malaysia tidak pernah mengunjungi Muzium Negara. Bangunan yang dibuka pada tahun 1963 itu sarat dengan warisan sejarah negara bangsa. Bukan setakat itu, banyak lagi bahan-bahan menarik dipamerkan yang sepatutnya menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke situ.

Menggunakan konsep hampir sama dengan muzium-muzium lain seluruh dunia, Muzium Negara menempatkan Galeri A berkisar kepada bahan-bahan serta sejarah awal evolusi pembentukan muka bumi dan segala maklumat serta bukti-bukti tinggalan kebudayaan masyarakat awal di Malaysia. Kajian sejarah dan kerja-kerja penggalian di lapangan oleh ahli-ahli akademik dan arkeologi mendapati masyarakat terawal di negara ini muncul kira-kira 500,000 tahun SM. Masyarakat itu menjalani kehidupan dengan berburu dan mendiami kawasan tebing-tebing sungai, tasik dan juga gua. Perkembangan kebudayaan dan corak hidup masyarakat dibahagikan kepada zaman Prasejarah dan Protosejarah.

Proses perkembangan tamadun manusia mempunyai kaitan yang amat rapat dengan pembentukan dan perubahan alam semula jadi serta persekitarannya. Bukti peninggalan yang dikemukakan hasil penyelidikan arkeologi dan kajian saintifik jelas memberikan suatu perspektif baru dalam pembinaan semula perkembangan tersebut.

Di Malaysia, usaha membongkar dan merungkai perkembangan tamadun manusia secara saintifik di beberapa lokasi penting dapat menjelaskan tarikh, budaya dan kelompok masyarakat awal yang mendiaminya. Antara tapak yang terkenal ialah Lenggong, Gua Cha, Kota Tampan, dan Kuala Selinsing.

Galeri A memaparkan 3 segmen utama yang merangkumi:

* Geologi dan Pembentukan Muka Bumi

Ruang ini menjelaskan pembentukan keadaan muka bumi di mana iklim telah secara langsung menentukan unsur flora dan fauna serta mencorakkan bentuk kehidupan manusia dalam pelbagai sudut seperti kebudayaan, kepercayaan, pertanian dan sebagainya.

* Zaman Prasejarah

Ia adalah segmen mengenai perkembangan budaya manusia sebelum adanya bukti bertulis dan data melalui penyelidikan arkeologi bermula dari Zaman Paleolitik, Hoabinhian/Epi-Paleolitik, Neolitik hingga Zaman Logam. Ekonomi masyarakat bermula dengan aktiviti mengumpul dan memburu. Pada peringkat akhirnya mereka mengamalkan sistem pertanian kecilan.

* Zaman Protosejarah

Zaman ini dikaitkan dengan adanya bukti bertulis dan rekod epigrafi namun agak terhad. Zaman Protosejarah memperlihatkan wujudnya sistem kepercayaan dan keagamaan (Hindu-Buddha) dengan tamadun dan budaya yang lebih kompleks. Zaman ini dapat difahami dengan lebih jelas kerana terdapat kesan tinggalan struktur bangunan khususnya bangunan keagamaan. Manakala ekonomi pula merangkumi perdagangan di peringkat global.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url