Sistem Simulator TUDM catat sejarah
JERTIH: Sistem Simulator SU-30MKM yang ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, di sini, mencatatkan sejarah baru dalam sistem pertahanan negara kerana menjadi satu-satunya pusat latihan simulasi pesawat canggih pertama seumpamanya di rantau Asia.
Pusat simulasi itu yang dibangunkan dengan kos RM258 juta menempatkan dua set sistem yang berupaya menjalankan misi latihan secara online seperti mana dalam persekitaran penerbangan sebenar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keunikan dan kelebihan pusat berkenaan adalah kemampuannya menjalankan misi latihan penerbangan secara serentak untuk lebih daripada sebuah kapal terbang.
Katanya, pusat simulator itu juga berfungsi memberi latihan kepada pelatih juruterbang supaya dapat mengalami keadaan sebenar seperti dalam kokpit jet pejuang.
“Sistem ini mampu melatih juruterbang serta pegawai yang mengawal pengimbas persenjataan dan krew teknikal berlatih dengan lebih teratur dan berkesan menggunakan simulator pesawat ini,” katanya selepas merasmikan pelancaran pusat itu di sini, semalam.
Hadir sama, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Bhd, Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan adanya pusat itu Malaysia sebenarnya sudah mendahului negara lain di rantau ini yang memiliki pesawat sama.
Katanya, teknologi canggih yang digunakan TUDM juga dapat membantu pasukan itu menjadi pasukan tentera udara termaju dan ke hadapan di rantau ini.
Sejak beroperasi pada November 2010 pusat itu sudah melatih 28 juruterbang sebelum pelatih menjalani latihan sebenar menggunakan pesawat dan jet pejuang.
Lebih membanggakan daripada pusat itu ialah pembangunannya dilakukan sendiri oleh kontraktor Bumiputera yang mendapat khidmat pakar dari Russia.
Katanya, pembinaan pusat itu dapat menjimatkan kos kerana latihan hanya perlu dilakukan di darat tanpa menggunakan minyak dan kemudahan jet pejuang sebenar
- BERITA HARIAN