MSAM 2011 tarik 150,000 pengunjung


IPOH 25 April - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual menutup pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang sudah berlangsung selama enam hari, petang esok.

MSAM kali ke-12 berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak 20 April lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, seluruh pameran MSAM akan ditutup sebaik sahaja Muhyiddin melawat gerai-gerai pameran yang mengambil bahagian sepanjang minggu itu.

''Pameran MSAM akan ditutup secara rasmi selepas Muhyiddin selesai melawat kira-kira pukul 5 petang esok.

''Sehubungan itu, orang ramai yang masih belum berkesempatan melawat, gunakan peluang pada hari-hari terakhir ini untuk melawat MSAM," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, pameran MSAM itu telah menarik hampir 150,000 pengunjung, sekali gus mencapai sasaran awal PNB sebelum ini.

MSAM yang berkunjung ke seluruh negara kecuali Sabah dan Perlis telah merekodkan jumlah pengunjung seramai dua juta orang dengan lokasi tertinggi di Kuala Terengganu seramai 255,000 dan Kepala Batas 250,000 pengunjung.

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai pelbagai peringkat umur terus membanjiri tapak pameran untuk menyertai aktiviti ataupun mendapat pengetahuan tentang MSAM sejak awal pagi ini.

Mereka bukan sahaja datang untuk melihat pameran tetapi turut mengambil kesempatan membuat transaksi, melanggan pelbagai produk pelaburan yang ditawarkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan ejen-ejen ASNB.

Penyertaan orang ramai dalam pelbagai aktiviti interaktif pelaburan dan hibur didik yang diadakan oleh semua syarikat pelaburan PNB mendapat sambutan luar biasa.

Malah, para pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai e-peraduan yang menawarkan hadiah mewah, kereta Toyota Vios dan Perodua Alza.

Nama pemenang bertuah bagi e-peraduan itu dijangka diumumkan pada majlis penutupan dan penyampaian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url