USM bangunkan program elak remaja bunuh diri
Lee Li Cheng, 17, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Phor Tay, Sungai Dua di sini, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 sebuah pangsapuri di Jelutong, pada 25 Februari lalu.
Selepas diminta bantuan oleh sekolah itu, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM memulakan inisiatif untuk membantu dan mendidik pengurusan sekolah bagi mena-ngani masalah berkenaan di kalangan pelajar.
USM membangun program itu dengan bantuan pakar psikiatri Hospital Pulau Pinang, hospital swasta, Persatuan Kaunseling dan Psikologi Pulau Pinang serta kaunselor sekolah.
Program 'Tools 4 Teens' mempunyai tiga modul latihan iaitu Kemahiran Mengendalikan Cabaran Hidup, Kestabilan Emosi serta Harga Diri dan Suara Hati Yang Positif.
Bercakap pada sidang media di SMJK Phor Tay di sini, semalam, Timbalan Naib Canselor USM (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Susie See Ching Mey, ber- kata program itu bertujuan mendidik pelajar mengenai cara menghadapi cabaran hidup.
Selain itu, ia juga menekankan ilmu mengenai harga diri, kestabilan emosi dan cara mengendali cabaran hidup demi kepentingan diri sendiri.
Beliau berharap program itu dapat diterima kaunselor sekolah untuk melatih pelajar mereka supaya membina kekuatan dalaman bagi menghadapi sebarang cabaran harian.
“Program ini akan membantu pelajar menggunakan aspek positif untuk menjadi kuat dan tabah,” katanya mengesahkan ia program yang pertama seumpamanya di negara ini.
Mengulas lanjut, Ching Mey berkata, pihaknya dengan kerjasama pakar psikiatri juga akan mengendalikan bengkel di sekolah menggunakan modul latihan berkenaan.
Sebagai permulaan, empat sekolah dipilih, bermula SMK Phor Tay, semalam. Bengkel sama akan diadakan di SMJK Chung Hwa Confucian dan Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Zainal Abidin di sini, hari ini dan SMJK Heng Ee (esok).
"Dengan semangat lebih kuat, kami harap pelajar dapat menghadapi apa juga cabaran dan masalah, bukannya membunuh diri," katanya.
Sekolah yang berminat untuk menyertai program itu boleh menghubungi BJIM USM di talian 04-6532914/2906.
Sementara itu, Pengetua SMK Phor Tay, Chan Be Chu, berkata pihaknya memohon bantuan USM kerana bimbang kejadian pelajarnya membunuh diri memberi kesan negatif kepada pelajar lain.
"Kami berharap program ini dapat memberi manfaat kepada pelajar menempuh kehidupan seharian dan membina keupayaan diri untuk menghadapi cabaran," katanya.
- BERITA HARIAN