Wuuhuu media baru alam maya
Setiap detik yang dilalui tidak akan terhenti walaupun sesaat dalam kehidupan kita. Ia akan bergerak pantas tanpa menoleh ke belakang mengikut peredaran zaman.
Putaran roda kehidupan turut merasai perkembangan pembangunan dan teknologi yang semakin berdaya maju serta canggih sehingga memudahkan kehidupan seharian manusia.
Media konvensional tidak terkecuali merasai tempias evolusi perkembangan ini secara perlahan-lahan apabila lebih banyak media digital boleh diperoleh di laman web hanya dengan satu klik di jari pengguna.
Pengenalan peranti canggih seperti telefon pintar dan tablet turut menyumbang kepada perkembangan itu apabila lebih banyak bahan bacaan digital diperkenalkan di laman web.
Ia termasuk blog, e-Buku, e-Novel, e-Komik dan banyak lagi menjadi tatapan pembaca digital terutamanya di negara-negara maju.
Secara tidak langsung bahan bacaan digital bukan sahaja memudahkan pengguna memperoleh maklumat dengan mudah dan pantas tetapi dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.
Atas kesedaran itu, Netxpert Sdn. Bhd. membangunkan portal penerbitan alam maya, wuuhuuonline.com dalam memberi alternatif bacaan kepada pengguna sekali gus membantu bersama-sama memulihara alam.
Penerbitan tanpa kertas
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Onn Ismail berkata, portal wuuhuu.online.com dibangunkan untuk menerbitkan pelbagai media digital sebagai pilihan kepada pembaca yang ingin menikmati bahan bacaan secara digital.
“Ia juga dibangunkan bertujuan untuk memupuk minat membaca secara digital dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dunia sekali gus dapat mendedahkan mereka mengenai konsep penerbitan tanpa kertas.
“Bayangkan berapa banyak pokok yang dapat diselamatkan apabila penerbitan tidak menggunakan kertas. Konsep penerbitan tanpa kertas dapat membantu menyelamatkan pokok, tenaga, air dan banyak lagi,” katanya kepada Kosmo!.
Dalam pada itu, dia menambah, penggunaan bahan kimia dalam pembuatan kertas dapat dihindari dan mengurangkan pembuangan sampah sarap di seluruh dunia apabila menggunakan konsep tanpa kertas itu.
Katanya, konsep yang ditekankan dalam penerbitan tanpa kertas itu dapat menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar walaupun sumbangan tersebut dilihat agak kecil.
“Selain itu, ia juga mampu mengurangkan kos operasi dan dapat memperluaskan pasaran di seluruh dunia. Walaupun konsep penerbitan digital masih baru di negara ini, ia semakin menjadi trend terkini di negara maju yang memanfaatkan sepenuhnya teknologi canggih,” ujarnya lagi.
Katanya, konsep penerbitan digital ini dijangka akan menarik pengguna secara perlahan-lahan kerana terdapat banyak gajet berteknologi tinggi yang membolehkan pengguna melayari internet di mana-mana mereka berada.
Konsep humor
Ujarnya lagi, sebagai permulaan, portal berkenaan telah menerbitkan empat edisi wuuhuu E-comic yang mengenengahkan konsep humor kepada pembaca melalui medium digital.
“Kita menerbitkan wuuhuu E-comic sebanyak dua kali sebulan dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pembaca. Menariknya tentang wuuhuu E-comic, ia menggunakan teknologi flip book yang dapat memberikan pengalaman seolah-olah pembaca membaca komik di depan mereka.
“Teknologi yang diguna pakai juga membenarkan pengguna memuat turun komik berkenaan dengan mudah dan cepat. Mereka yang terlepas edisi sebelum ini turut boleh memuat turun edisi terdahulu tidak seperti komik konvensional,” katanya.
Sementara itu, Penyunting wuuhuu E-comic, Mazlan Abdullah, menambah, E-comic telah dibaca dan dimuat turun di 33 buah negara seluruh dunia.
“Kebanyakan pembaca ini merupakan rakyat di Malaysia dan yang berada di perantauan yang inginkan kelainan dalam pembacaan digital mereka.
“Kita berharap lebih banyak pembaca akan memilih pembacaan digital kerana ia dapat membantu memulihara alam sekitar,” katanya.
Kartunis wuuhuu E-comic, Rudy Hazrin Abdullah, 26, berkata, dia sangat teruja apabila menjadi kartunis komik digital kerana ia merupakan satu pengalaman baru dan dapat memupuk minat membaca pembaca digital.
Lebih dikenali dengan nama timangan Kilobait dalam komik maya berkenaan, dia memberitahu, konsep yang cuba dibawa dalam karya kartunnya adalah isu semasa dipenuhi mesej membina kepada pembaca.
“Walaupun komik berkenaan berkonsep humor tetapi, saya masih ingin memastikan pembaca mendapat mesej dan nasihat apabila membaca,” katanya.
Seorang lagi kartunis wuuhuu E-comic, Khairul Izzuddin, 40, yang mempunyai 15 tahun pengalaman dalam bidang percetakan berkata, penghasilan wuuhuu E-comic tidak banyak berbeza berbanding komik cetak.
“Selain tidak menggunakan kertas, orang ramai lebih mudah akses untuk membaca. Dalam pada itu, pembaca juga boleh meninggalkan komen mereka sekali gus mendekatkan lagi kartunis bersama pembaca,” katanya yang lebih dikenali sebagai Maderbot.
Memuat turun
Pegawai Operasi dan Teknikal wuuhuu E-comic, Yoze Harriando Wahyu Sumartha, 24, pula menambah, pengguna mempunyai pilihan untuk memuat turun dalam resolusi besar atau kecil.
“Ia dilakukan adalah untuk memenuhi kehendak pembaca yang ingin membaca menggunakan telefon pintar atau tablet mereka.
“Pengguna yang memuat turun komik berkenaan juga boleh membaca semasa dalam talian atau luar talian dengan lebih mudah,” ujarnya lagi.
Bercerita mengenai perancangan portal berkenaan, Che Onn memberitahu, portal wuuhuu.online.com juga akan menerbitkan beberapa komik dan majalah lain dalam masa terdekat untuk memberi pelbagai pilihan kepada pengguna.
Katanya, antara komik dan majalah lain dalam perancangan penerbitan ialah Yaahoi, Femag, Femom dan Gadget.
“Yaahoi merupakan komik berkisarkan aksi dan dijangka akan berada di pasaran tidak lama lagi. Majalah Gadget pula akan mengenengahkan mengenai gajet-gajet terkini di pasaran.
“Bagi golongan remaja wanita berusia 15 hingga 35 tahun kita akan menerbitkan Femag. Majalah digital Femom pula disasarkan kepada golongan ibu yang memberikan pelbagai tip mengenai ekonomi rumah tangga, penjagaan anak, resipi memasak dan banyak lagi,” katanya.
Che Onn berkata, portal berkenaan juga akan menjadi platform kepada pengkarya-pengkarya berbakat tetapi, tidak mempunyai platform menunjukkan bakat mereka.
“Kita mengalu-alukan mereka yang mempunyai bakat menghantar hasil karya kepada kami. Jika ia menepati kriteria saguhati akan diberikan dan karya mereka akan diterbitkan dalam komik atau majalah yang sesuai,” katanya.
Wuuhuu boleh dilayari di : wuuhuuonline.com
- KOSMO!