Top Ad 728x90

Asiaspace terus kukuh bersaing

Sekiranya anda sering memandu ke seluruh negara, terdapat kemungkinan besar anda akan dapat melihat menara telekomunikasi yang mempunyai reka bentuk unik menyerupai sebatang pokok.

Menara berkenaan sebenarnya dibina oleh Asiaspace Sdn. Bhd. (Asiaspace), satu-satunya syarikat bumiputera yang berkecimpung dalam industri itu sejak 12 tahun lalu. Antara kawasan yang mempunyai menara berbentuk sedemikian adalah Taman Botani dan Taman Wetland di Putrajaya serta Planetarium Negara dan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Penggerak utama Asiaspace ialah Pengerusi dan pengasas syarikat itu, Datuk Abdul Ghani Abdullah.

Beliau yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom pernah menjadi ahli lembaga pengarah Sirim Berhad, MNI Holdings Berhad dan beberapa syarikat lain yang disenarai di Bursa Malaysia.

Abdul Ghani ialah individu yang mencetuskan idea supaya syarikat telekomunikasi berkongsi menara bagi mengelak bilangan yang terlalu banyak di setiap kawasan.

Idea berkenaan mendapat reaksi positif daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kemudiannya mengarahkan beliau membina menara terbabit untuk disewa kepada syarikat telekomunikasi.

Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Ghani dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini menjelaskan, sehingga ke hari ini pihaknya telah membina 132 menara telekomunikasi di kawasan-kawasan strategik seluruh negara.

''Ia telah disewakan kepada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi pelbagai jenama seperti Celcom, Maxis, DiGi, umobile, P1 dan yes.

"Kami turut membina menara telekomunikasi untuk kegunaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),'' ujarnya.

Selain berpengalaman dalam pembinaan dan pengendalian menara telekomunikasi, Asiaspace kini maju setapak lagi dalam memperkenalkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar 4G setelah memperoleh lesen spektrum 2.3 gigahertz (GHz) pada Mac 2007 dan 2.6 GHz pada 2010.

Tiga syarikat lain yang turut diberikan lesen untuk spektrum itu bagi menawarkan 4G berasaskan teknologi akses keupayaan saling mengendali bagi gelombang mikro seluruh dunia (WiMAX) adalah Packet One Networks (M) Sdn. Bhd., YTL e-Solutions Bhd. dan REDtone International Bhd.

4G yang menawarkan generasi keempat teknologi jalur lebar tanpa wayar merupakan pengganti kepada standard 3G dan 2G.

Teknologi 4G boleh memberikan 100 megabit sesaat (Mbps), yang membolehkan album muzik dimuat turun sepantas lima saat atau sejam siaran televisyen dalam masa kira-kira 30 saat.

Pada Ogos 2008, syarikat berkenaan telah memperkenalkan perkhidmatan 4G dengan jenama 'amax' yang berasaskan kepada teknologi WiMAX.

Bagaimanapun berikutan perubahan teknologi maka pihak pengeluar peralatan telah menamatkan sokongan terhadap pembangunan teknologi WiMAX.

Oleh itu, syarikat itu memutuskan untuk menghentikan amax yang berasaskan WiMAX pada September 2010 bagi membolehkannya beralih kepada teknologi 4G lebih canggih berasaskan evolusi jangka panjang (LTE).

Jelas beliau, syarikat itu kini dalam proses untuk memasang LTE ujian di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

4G berasaskan teknologi LTE membolehkan para pengguna memuat turun sehingga 100 Mbps pada telefon mudah alih mereka, berbanding 3G yang membolehkan muat turun sehingga 20 Mbps dan WiMAX sehingga 40 Mbps.

Perkhidmatan 4G berasaskan LTE telah dimulakan secara komersial pada Disember 2009 di Stockholm, Sweden dan Oslo, Norway.

Negara-negara lain yang telah memulakan langkah untuk beralih kepada teknologi LTE ialah Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Korea Selatan, Australia dan Sri Lanka.

Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan Asiaspace akan berkembang lebih maju pada masa depan setelah ia dipilih untuk dimasukkan dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) Kementerian Kewangan.

Skim berkenaan yang dilaksanakan sejak 2007 bertujuan membantu syarikat bumiputera untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Sementara itu, mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, jelas beliau, pihaknya telah meletakkan sasaran untuk mengambil alih semua menara milik sebuah syarikat telekomunikasi tempatan dengan anggaran kos pengambilalihan sebanyak RM400 juta.

Jelasnya, syarikat berkenaan turut meletakkan sasaran untuk membina 10 menara telekomunikasi baru setiap tahun.

''Kita juga merancang untuk mengembangkan operasi pembinaan menara telekomunikasi ke negara-negara ASEAN dan memastikan 25 peratus daripada menara yang dibina menggunakan teknologi hijau menjelang 2014," ujarnya.

Katanya, syarikat itu juga merancang untuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan dalam memperkenalkan perkhidmatan 4G berasaskan teknologi LTE.

''4G ini akan menggunakan spektrum 2.3 GHz dan 2.6 GHz dengan peralatan dibekalkan oleh Qualcomm Incorporated dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd.," katanya.

Tambah beliau, kejayaan syarikat itu untuk mengembangkan operasi adalah berikutan kerjasama baik yang diberikan oleh SKMM dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90