Awasi 'jerat' judi permainan
PENGHARAMAN judi bukanlah perkara baru dalam Islam. Majoriti umat Islam menyedari tentang kegiatan perjudian konvensional seperti membeli nombor ekor, lumba kuda, mesin slot, jackpot dan sebagainya.
Pada asasnya, para fuqaha sepakat bahawa hukum asal pertandingan adalah harus. Ia berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 60 surah al-Anfaal.
Namun, akibat kekurangan ilmu adakalanya tanpa disedari kita turut terlibat dalam kegiatan perjudian melalui pertandingan-pertandingan, permainan atau penyertaan dalam kuiz menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Ini berlaku apabila amalan judi tersebut dipasarkan kepada masyarakat dalam bentuk yang tersembunyi dan mengelirukan.
Ahli Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim berkata, mutakhir pertaruhan dikutip melalui cara yang kadang-kadang tidak disedari oleh para peserta pertandingan. Antaranya, kata beliau, ia berselindung di sebalik istilah seperti wang penyertaan, yuran pertandingan dan sebagainya.
Adakalanya, ia dikutip secara tidak langsung misalnya melalui caj panggilan telefon untuk menyertai sesuatu pertandingan.
"Di dalam semua keadaan di atas, jika pada hakikatnya hadiah yang disediakan adalah daripada sumber yang dikeluarkan oleh peserta, maka ia dikira suatu perjudian.
"Contohnya, jika menyertai pertandingan memancing dan hadiahnya disediakan daripada wang penyertaan, maka ia termasuk dalam perjudian," jelasnya dalam kertas kerja Amalan Judi Moden: Isu dan Penilaian Syariah di Masjid Putra, Putrajaya, baru-baru ini.
Ia sempena Simposium Fiqh Mu'asirah (semasa) bertemakan Perjudian Dalam Islam: Isu, Cabaran dan Penyelesaian anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Simposium sehari itu disertai oleh kira-kira 200 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pengamal media dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih.
Ia dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin. Hadir sama, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim, Mohamad Saari.
Pensyarah Kulliyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali pula berkata, ulama silam menyimpulkan judi boleh terjadi dalam beberapa bentuk.
Pertama, maysir al qimar- judi dengan pertaruhan harta yang disepakati adalah maysir yang diharamkan.
Ciri utamanya adalah pemain sama ada menang atau rugi; permainannya melibatkan pertaruhan harta dan memindah milik harta melalui pertaruhan.
Kedua, maysir al lahw yang disepakati haramnya. Ada sebahagian judi yang tidak melibatkan pertaruhan harta. Contohnya seperti nard, tawilah dan tab.
Ciri utamanya adalah permainan yang semata-mata bergantung kepada nasib dan tidak berdasarkan pemikiran, kiraan dan seumpamanya.
Ketiga, maysir al lahw yang tidak disepakati haramnya.
Para ulama berselisih pandangan tentang hukum permainan yang tidak melibatkan pertaruhan wang tetapi memerlukan pemainnya berfikir, mengira dan menilai.
lImam Hanafi mengatakan permainan itu asalnya haram kecuali empat jenis iaitu lumba kuda, lumba unta, memanah dan permainan antara suami isteri.
lImam Malik sama dengan pandangan Hanafi. Mengenai catur, Imam Malik dilaporkan membenci permainan catur dan melarangnya (haram).
lImam Shafie: semua permainan yang bergantung kepada pengiraan, pemikiran dan perancangan strategik tidak dilarang tetapi makruh. Syaratnya, tiada pertaruhan, percakapan buruk atau melalaikan solat.
lImam Hambali: semua permainan yang tiada pertaruhan harta selagi mana tidak mengandungi mudarat atau melalaikan daripada perkara yang fardu pada asalnya adalah harus.
Katanya lagi, ulama berselisih pendapat mengenai permainan catur yang tidak ada sebarang pertaruhan.
"Imam Malik dan Hanafi mengharamkannya, Imam Syafie berkata ia makruh dengan syarat permainan itu tidak melengahkan daripada solat, tiada pertaruhan wang dan tidak bercakap perkara buruk dan keji.
"Imam Hambali pula berpandangan catur sama seperti nard iaitu hukumnya haram. Hukum catur diqiaskan kepada hukum nard," katanya.
Ada pun tentang pertandingan melagakan haiwan, Dr. Adawiah berkata, ia adalah haram sama ada melibatkan pertaruhan wang atau tidak.
"Sebabnya ia adalah sia-sia, tidak berfaedah dan menyakitkan haiwan yang terlibat," tegasnya.
Permainan sukan ekstrem, kata Dr. Adawiyah, dibenarkan dengan syarat pesertanya adalah ahli dalam sukan itu dan kemungkinan untuk selamat dan tidak cedera adalah tinggi serta tidak melibatkan pertaruhan wang atau harta benda.
"Sebaliknya, jika dikhuatiri sukan itu membawa bahaya dan mudarat kepada pemainnya atau pemainnya bukan ahli dalam sukan itu, maka ia dilarang dalam semua keadaan sama ada melibatkan pertaruhan atau tidak," tambahnya.
Seorang lagi pembentang kertas kerja, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat, Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa menarik perhatian peserta apabila membincangkan bab judi dan hak kebebasan asasi.
Katanya, pertimbangan moraliti dan sistem nilai masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak harus dibiarkan terlalu terbuka tanpa merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 3(1) Perlembagaan Negara dengan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama negara.
Naser berkata, tafsiran Perkara 3 telah dijelaskan dalam keputusan beberapa kes mahkamah seperti Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Meor Atiqurrahman lawan Fatimah Sihi.
Dalam kes Lina Joy dan MAIWP, Mahkamah Persekutuan memberi tafsiran yang lebih luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan memutuskan antara lain seperti berikut:
"Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman".
Menurut Nasir, ada dakwaan bahawa prinsip Islam tidak boleh dilaksanakan ke atas bukan Islam kerana melanggar hak kebebasan asasi kerana Perkara 11 menyatakan dengan jelas bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, dan tertakluk kepada fasal (4), mengembangkannya.
"Adakah hak kebebasan beragama orang lain akan terjejas apabila mengharamkan sesuatu aktiviti yang kelihatan negatif menurut Islam," soal beliau.
Walaupun, golongan tersebut mempertahankan perjudian sebagai hak kebebasan beragama bagi yang bukan Islam, ia jelas adalah perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan prinsip moral yang tidak akan dilindungi di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sebagai suatu hak kebebasan beragama.
Peruntukan tersebut adalah seperti berikut: Kebebasan beragama,
11(5) Perkata ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awal atau prinsip moral.
- UTUSAN