Top Ad 728x90

, ,

Jalan tetap jalan walau mahal

Bersama Mior Kamarul Shahid

Berita utama USA Today, 16 Mei 2011: “We'll pay more but go anyway”, manakala tajuk kecil berita pula menyebut: “Many determined not to let soaring prices spoil summer vocation”. Berita ini ditulis berasaskan kajian pungutan pendapat yang dijalankan oleh akhbar itu berikutan kenaikan harga gas (petroleum), tambang kapal terbang dan bilik hotel di Amerika Syarikat (AS) sekarang. Kajian akhbar itu mendapati lebih enam daripada 10 rakyat AS yang mereka temui mengatakan mereka akan tetap meninggalkan rumah mereka pada musim panas ini walaupun terpaksa membayar lebih.

Maksudnya mereka akan bercuti pada musim panas seperti biasa mereka lakukan pada setiap musim panas. Musim panas bermula hujung minggu depan. Kajian itu mendapati rakyat AS sedia membayar lebih untuk bercuti pada musim panas ini. Sebanyak 71 peratus responden menyatakan tahun ini mereka akan berbelanja lebih untuk pengangkutan, manakala 44 peratus menyatakan bahawa mereka akan berbelanja lebih untuk makanan, tempat tinggal dan berhibur. Bagi kebanyakan rakyat AS, walau apa pun berlaku ‘Jalan tetap jalan’.
‘Vacation’ sudah menjadi kemestian, manakala ‘staycation’ sudah mati, menurut akhbar itu. Hari ini, harga purata minyak regular di AS ialah AS$3.96 (RM11.88) segelen, meningkat 38 peratus berbanding tahun lalu. Setiap kali mengisi tangki minyak kenderaan, setiap keluarga terpaksa menambah AS$20 (RM60) daripada biasa. Pengguna membayar lebih AS$1.08 (RM3.24) segelen berbanding ketika harga minyak AS$2.88 (RM8.64) segelen tahun lalu.
Berbual dengan pemandu teksi di kota New York, mereka terkejut dengan harga petrol di Malaysia. Harga petrol RON95 ialah RM1.90 sen seliter, manakala RON97 pula RM2.90 seliter. Di Malaysia harga petrol murah kerana sebahagian kos ditanggung menerusi subsidi kerajaan. Seandainya kerajaan tidak menanggung subsidi petrol ini saja, kerajaan boleh berbelanja besar untuk projek rakyat. Malah, kerajaan boleh mempunyai simpanan yang besar.

Mengaku menghadapi kesulitan kewangan, namun rakyat AS sedia mengubah suai cara berbelanja mereka. Ramai rakyat AS terpaksa memilih bercuti dalam negara dan tidak ke Eropah atau destinasi lain berikutan kenaikan tambang pengangkutan dan kedudukan dolar AS yang lemah. "I'm still going to go, but I'm going to do smartly", kata seorang responden.

Pada hari sama juga, USA Today menyiarkan berita lain yang menyebut pengguna jalan raya akan membayar lebih berikutan kenaikan tol di negara itu. Pengguna jalan raya di New York mengalami kenaikan harga tol dari AS$5.50 (RM16.50) ke AS$6.50 (RM19.50) bagi setiap satu arah. Kebanyakan tol di negara itu naik dari serendah 9 sen (RM2.70) hingga AS$1 (RM3) sehala dan pada hari minggu pula kenaikan setinggi AS$4 (RM12). Bagi pengangkutan udara ke destinasi popular pula, tambang meningkat 37 peratus.

Bagi rakyat AS, mereka tidak mahu apa juga perkara yang boleh merosakkan rancangan mereka. Jika tambang naik, mereka memilih untuk tidak berjalan jauh. Mereka tidak pergi destinasi yang memerlukan kos besar, tetapi bercuti di dalam negara dan memilih rumah penginapan yang lebih murah. Bilik-bilik hotel di Orlando, umpamanya, habis ditempah awal. Pengusaha hotel meramalkan akan mendapat kenaikan keuntungan walaupun mereka terpaksa memberi pelbagai tawaran dan diskaun. Syarikat operator menyewa kereta juga mengaut untung kerana ramai yang bercuti dalam negara.
Di Malaysia, reaksi apabila berlaku sebarang kenaikan harga adalah berbeza. Bila harga petrol naik, reaksi awal ialah berlaku desakan daripada pelbagai pihak untuk menaikkan harga barang-barang lain. Peniaga dan pengusaha akan menaikkan apa juga barang dan perkhidmatan.

Harga barang pula dikaitkan dengan kenaikan gaji. Kenaikan gaji juga sekali lagi menyebabkan berlaku tuntutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Ia bertali arus.

Di AS, rakyat sudah biasa hidup dalam suasana yang menghimpit mereka. Di kota New York, kegiatan harian berjalan seperti biasa walaupun pada hakikatnya dalam kocek rakyatnya tidak banyak wang. Di pusat beli-belah, sebahagian besar pelanggan adalah pelancong. Rakyat Malaysia lebih mampu berbelanja di New York berbanding kebanyakan rakyat AS dalam kategori yang sama. Paling penting, peniaga pasar raya membuat pelbagai tawaran potongan harga untuk menarik pelanggan. Ketika harga petrol naik, mereka tidak menaikkan harga, tetapi mengurangkan harga. Mereka menggunakan strategi terbalik untuk tetap membuat untung dalam keadaan rakyat tertekan.

Jika rakyat boleh mengurangkan penggunaan gula apabila harganya dinaikkan, mereka juga boleh mengubah suai cara berbelanja jika sesuatu barang atau perkhidmatan dinaikkan. Jika peniaga atau operator perkhidmatan boleh membuat tawaran istimewa, mereka akan dapat lebih ramai pelanggan. Walaupun masih menjual dengan harga yang sama, mereka tetap mendapat untung kerana jumlah jualan yang tinggi. Seandainya tarif elektrik di AS dinaikkan, rasanya rakyatnya masih tidak riuh rendah kerana mereka tahu cara menjimatkan penggunaan elektrik. Elektrik hanya digunakan bila perlu. Sebagaimana rakyat AS memilih untuk tidak ke Eropah menghabiskan cuti musim panas kerana kenaikan harga minyak, rakyat Malaysia juga boleh membuat pengubahsuaian apabila berlaku sesuatu kenaikan harga.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90