Pendidikan Bertaraf Dunia Jika Pelajar Mampu Guna Kaedah Baru - Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri berkata matlamat itu boleh dilakukan menerusi transformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan, antaranya meliputi pendekatan menumpukan pembukaan minda pelajar supaya mereka lebih kreatif dan inovatif.
"Apabila sistem persekolahan biasa dapat dimantapkan menerusi program transformasi pendidikan, sejajar dengan matlamat menjadi negara majuberpendapatan tinggi, kita berharap dapat melahirkan pelajar yang boleh berfikir sendiri, dan itu adalah ciri sistem pendidikan bertaraf dunia," katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Kurikulum, Kokurikulum dan Kesahsiahan (3K) 2011 Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak Selekoh (STARS) di sini, Sabtu.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha itu memerlukan komitmen tinggi dan kerjasama semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, guru serta pihak berkaitan dengan sistem pendidikan negara.
Katanya pendidikan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara dan ini amat jelas kerana 26 peratus daripada bajet tahunan diperuntukkan untuk meningkatkan sistem pendidikan.
"Pada tahun ini sahaja, sebanyak RM29.3 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran untuk belanja mengurus dan pengoperasian serta RM6.4bilion bagi tujuan prasarana sekolah di seluruh negara," katanya.
Muhyiddin berkata sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baru dijana melalui ilmu pengetahuan, kepakaran dan kemahiran untuk mengisi semua bidang pembangunan yang akan dilaksanakan.
Beliau berkata pendidikan prasekolah juga dianggap penting dan ia merupakan antara bidang keutamaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.
Dalam tempoh dua tahun lagi, katanya jumlah kanak-kanak memasuki sistem pendidikan prasekolah akan meningkat kepada 87 peratus dan lebih banyak premis untuk prasekolah perlu dibina.
Beliau berkata kerajaan bersedia memberi modal tambahan sebanyak RM10,000 sebagai galakan kepada pihak swasta bagi membangunkan kemudahan untuk pengajaran dan pembelajaran prasekolah.
- BERNAMA