Peranan guru jana transformasi pendidikan

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB

Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.

Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.

"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.

"Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).

"Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau.

Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar.

"Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya.

Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama.

"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.

"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.

"Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.

Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.

"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya

"Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan.

"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya.

Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.

Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.

"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url