Peraturan kewangan baru dan yang tertinggal
Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Ben S Bernanke mengatakan bank pusat itu bercadang memperkenalkan peraturan dalam beberapa bulan lagi bagi syarikat yang kegagalan mereka akan mengancam sistem kewangan.
Selepas empat tahun krisis kewangan melanda AS yang menyebabkan institusi kewangan yang besar seperti Bear Sterns dan Lehman Brothers yang wujud beratus tahun muflis, baru kini pihak pengawal selia di AS ingin memperkenalkan peraturan kewangan baru.
Pihak Suruhanjaya Sekuriti mereka sedang menjalankan suatu penilaian meluas tentang pasaran ekuiti untuk menentukan sama ada peraturan sedia ada sejajar dengan pembangunan dalam teknologi dan strategi dagangan. Mereka bercadang memerlukan pedagang besar melaporkan dagangan mereka dan membangun suatu sistem maklumat tergabung untuk pengawasan pasaran.
Seperti kita sedia maklum salah satu sebab keruntuhan sistem kewangan di AS yang merebak ke negara-negara di Eropah adalah kemunculan pelbagai jenis derivatif yang digubal daripada suatu pokok sekuriti yang berasaskan sesuatu yang lemah dikenali dengan nama subprima atau pinjaman yang diberikan kepada mereka yang sudah diketahui tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik.
Pokok keruntuhan ini adalah sifat tamak haloba bank dan institusi kewangan yang mempunyai cawangan dan sekutu di merata dunia. Daripada pokok yang sudah lemah dibentuk pelbagai jenis pakej yang kemudian dijual kepada institusi lain di seluruh dunia. Akhirnya bila yang pokok runtuh, semuanya runtuh.
Dalam blog terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan tentang bagaimana matawang dijadikan komoditi untuk diperdagangkan dan dimanipulasi yang menyebabkan dunia tidak akan bebas daripada spekulator yang boleh merosakkan sesuatu matawang. Dalam usaha mereka memperkenalkan peraturan kewangan baru, nyata dagangan pasaran matawang yang bernilai trilion dolar Amerika sehari tidak disentuh.
Sepatutnya mereka yang terlibat dengan jual beli matawang ini diperlukan membuat laporan seperti yang dicadangkan oleh Dr. Mahathir supaya kita tahu siapa yang short dan siapa yang long. Short bermakna mereka yang menjual sesuatu matawang akan membeli balik bila nilai matawang tersebut jatuh nilainya dan long mereka yang benar-benar memiliki matawang yang hendak dijual. Sejak matawang dijadikan komoditi, huru hara di pasaran kewangan kerap berlaku.
Apa jua senibina kewangan (Financial Architecture) yang heboh kononnya oleh kumpulan G7 selepas krisis kewangan dulu sehingga hari ini belum menampakkan sebarang hasil. Banyak cakap daripada bikin. Kini negara-negara di Eropah masih dilanda krisis Iceland, Greece, Spain dan Portugal semuanya memerlukan bantuan kewangan dan bantuan itu memerlukan suatu disiplin kewangan negara mereka yang ada yang tidak dapat mematuhinya, kerana untuk mengurangkan defisit negara banyak perbelanjaan negara perlu dipotong dan bila sesuatu perkara yang penting dipotong, walau terpaksa, rakyat merusuh merosakkan harta benda seperti yang berlaku di Greece.
Di AS pula sehingga hari ini pemulihan ekonomi belum lagi muncul. Obama tidak akan berbuat sesuatu sehingga pilihan raya presiden untuk penggal keduanya. Dengan pembunuhan Osama Bin Laden rating Obama meningkat dan beliau boleh berdiam diri sekejap tentang masalah ekonomi yang menghantui negara tersebut. Lagipun sekiranya nilai matawang mereka sudah hampir menyamai “kertas tisu” bagi mereka mudah saja kerana boleh mencetak seberapa banyak wang yang diperlukan. Pelabur mereka pergi keluar negara menikmati keuntungan daripada perbezaan kadar faedah di negara-negara lain dengan negara mereka yang kini masih rendah berada di paras antara 0 sehingga 0.25% dan membawa balik keuntungan itu ke negara mereka.
Oleh itu, pasaran-pasaran saham negara Asia menunjukkan prestasi meningkat kerana kemasukan wang daripada pengurus-pengurus dana dari AS ini.
Sebarang kegembiraan tentang kenaikan matawang ringgit dengan dolar Amerika wajar mengambil kira suasana ekonomi di AS yang masih lagi bergelut dengan pelbagai perkara. Ujian sebenar kekukuhan matawang kita adalah apabila dengan matawang negara lain kita pun meningkat bukan dolar Amerika sahaja.
Matawang yang tinggi ada baiknya dan ada buruknya. Baik untuk barang yang diimport dan buruk untuk barang yang kita eksport.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed semasa pelancaran Laporan Produktiviti Tahunan 2010/2011, negara ini dari segi ekonomi tidaklah begitu buruk tetapi masih belum menunjukkan prestasi memuaskan kerana terpaksa “mengejar” negara-negara yang dulunya setanding dengan kita.
Produktiviti setiap penduduk di negara ini masih lagi empat atau lima kali lebih rendah daripada mereka di negara-negara yang kita anggap sudah mencapai taraf negara maju.
Faktor produktiviti sepenuhnya ini yang penting bagi kita untuk meningkat. Tidak guna kalau upah meningkat tetapi produktiviti rendah. Mungkin di sesetengah bahagian penghasilan produktiviti kita mengalami “obes” dan payah bergerak dan sektor produktiviti lain mengidap “angin ahmar” atau “diabetes”. KPI diperlukan untuk memastikan produktiviti meningkat baik di sektor awam mahupun di sektor swasta.
- UTUSAN