Salma, Juara Mentor 5 Raih 3.25 juta Undian SMS Penonton

SHAH ALAM: Juara Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 21, berjaya meraih 3.25 juta undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton sebelum program itu melabuhkan tirainya di Stadium Malawati, di sini, Ahad.

Perkara tersebut disahkan oleh penerbit Mentor 5, Muhamad Suffian Isa di mana undian tersebut telah berjaya melonjak markah Salma iaitu 85 peratus jauh meninggalkan dua peserta lain yang turut bertanding iaitu Iqa dan Shiha.

Shiha mendapat tempat kedua dengan markah 63 peratus manakala Iqa menduduki tempat ketiga (56 peratus).

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada semua peminat yang mengundi saya.

“Apa yang membangkitkan semangat saya untuk berjaya adalah teguran daripada Kak Erra dengan melakukan latihan bersungguh-sungguh setelah melihat prestasi saya agak teruk pada peringkat separuh akhir,” kata Salma dalam satu sidang media.

Selepas memenangi program yang turut disiarkan secara langsung di TV3 itu, secara automatik Salma akan bergelar artis di bawah stesen televisyen itu sebelum bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.

“Saya akan meneruskan minat dalam bidang nyanyian dan teringin untuk memiliki album sendiri. Dengan wang tunai yang saya dapat ini, mungkin saya akan merealisasikan impian saya.

“Saya juga merancang untuk membawa keluarga makan angin,” ujarnya lagi yang turut mengaku statusnya sebagai janda beranak satu.

Salma pernah berkahwin pada usia 17 tahun dan bercerai setahun selepas itu. Hasil perkahwinannya, dia dikurniakan seorang anak perempuan bernama Puteri Nurul Huda berusia lebih tiga tahun.

Dengan kemenangan itu, Salma berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000, sebuah trofi dan sebuah kereta Chevrolet Cruze manakala mentornya, penyanyi dan pelakon Erra Fazira turut memenangi hadiah wang tunai RM100,000.

Sementara Shiha membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi dan Vespa LX150 serta mentornya, penyanyi Datuk Sharifah Aini membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah yang sama.

Tempat ketiga, Iqa dan mentornya, komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim juga membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 setiap seorang.

Format pemarkahan merangkumi 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus melalui juri awam.

Juri profesional merupakan pemuzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Ziana Zain.

Turut diumumkan adalah pemenang peserta ujibakat iaitu Nursyila Mohd Khir yang menyanyikan lagu Oh Dimana dan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url