Transformasi ekonomi tuntut modal insan bermutu

Oleh Yusliza Mohd Yusoff
Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mempunyai pendekatan tersendiri untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai modal insan memiliki mentaliti kelas pertama untuk negara. Pelbagai usaha diperkenalkan khususnya ke arah pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ini sekali gus dapat melakukan transformasi negara daripada ekonomi berasaskan pertanian dan perindustrian kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Modal insan atau manusia adalah sumber paling penting dalam organisasi di samping sumber lain seperti mesin dan peralatan, kewangan dan prosedur kerja. Manusia adalah penggerak organisasi dan penentu kejayaan pencapaian visi, misi, objektif, matlamat dan fungsi yang ditetapkan.

Memupuk minda modal insan dengan memiliki mentaliti kelas pertama adalah satu daripada lima teras misi nasional untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. Minda kelas pertama adalah berteraskan kepada ketangkasan kerja, ketepatan dan keberhasilan.

Tidak dinafikan, sinergi memang wujud antara pembentukan sebuah negara maju dengan tahap modal insan yang berkualiti dalam kalangan graduan institusi pengajian tinggi. Seperti kita sedia maklum, negara ‘Harimau Asia’ seperti Jepun, Korea, Taiwan dan Singapura, yang kekurangan sumber semula jadi tidak menghalang negara ini daripada mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Sumber manusia atau tenaga kerja mereka sangat terlatih, berpendidikan, rajin serta menggunakan secara meluas teknologi moden.

Bidang pendidikan terus diberi keutamaan dalam membentuk modal insan berkualiti dan berdaya saing menjelang 2020.

Bersesuaian dengan matlamat pembangunan modal insan yang mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri peribadi yang unggul.

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara digubal dengan visi untuk melakukan transformasi pengajian tinggi dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.

Bagi menjana modal insan berinovasi, universiti perlu bekerjasama dengan semua pihak untuk menghasilkan graduan cemerlang yang dapat memenuhi keperluan masyarakat dan harapan negara. Graduan kita bukan saja perlu berpengetahuan dan berupaya menguasai bidang ilmunya malahan memiliki kemahiran khusus serta mempunyai daya keusahawanan selain dapat menempatkan diri mereka dalam pasaran tenaga kerja yang diperlukan.

Negara yang inovatif ekonominya bukan saja digerakkan oleh inovasi dan teknologi tetapi juga oleh bakat seseorang. Golongan yang mempunyai bakat inilah yang mencetuskan penciptaan kekayaan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Persoalannya, mengapa isu kebolehdapatan pekerjaan dalam kalangan graduan masih hangat dibincangkan? Isu ini adalah satu cabaran yang diberi perhatian berat oleh kerajaan dan KPT khususnya.

Kemampuan kerja graduan sering kali didefinisikan sebagai satu set kemahiran pencapaian, pemahaman dan lambang keperibadian.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam syarahan utama beliau bertajuk ‘memartabatkan ekosistem kegemilangan ilmu’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, menjelaskan bahawa universiti bukan saja berperanan untuk melahirkan graduan cemerlang dalam akademik, tetapi graduan perlu dilengkapkan dengan segala kemahiran diperlukan pada masa hadapan.

Kemahiran ini penting pada era globalisasi yang memerlukan persaingan yang tinggi dalam persekitaran yang terdedah dengan kemajuan teknologi terkini.
Menurut Khaled, graduan perlu menguasai kemahiran 4C iaitu pemikiran kritikal dan penyelesai masalah, keberkesanan berkomunikasi, bekerja secara berkesan di dalam kumpulan yang mempunyai perbezaan pandangan dan kreativiti dan inovasi.

Graduan yang dikategorikan sebagai ‘ulat buku’ tidak lagi menjamin mereka mendapat pekerjaan. Dalam dunia pasaran kerjaya hari ini, persaingan adalah sengit. Memiliki ijazah semata-mata tidak dapat menjamin seseorang graduan boleh mendapat pekerjaan.

Tarikan utama majikan dan pasaran kerjaya pada masa kini adalah graduan yang berkualiti khususnya menguasai kemahiran 4C paling diutamakan oleh pihak industri.

Keseimbangan ini perlu ditekankan bagi menghasilkan graduan yang mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi. Tambahan lagi, ini berdasarkan hala tuju Malaysia yang berhasrat menjadi sebuah negara maju yang mampu melahirkan modal insan seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan.

Maka, institusi pengajian tinggi dalam negara perlulah memperbaiki semua program pengajian seiring dengan keperluan semasa.

Khaled berkata, graduan perlu berkeyakinan dari segi ilmu yang dimilikinya, mahir berfikir dan menangani masalah, petah berbicara termasuk berkomunikasi dalam bahasa asing, mengaplikasi maklumat teknologi komunikasi secara bermanfaat, berdaya usahawan, berketerampilan dalam sukan, kesenian dan pembabitan sivik, bertanggungjawab sosial serta menghayati nilai murni dan beretika.

Mulai tahun ini, sektor pendidikan tinggi negara bakal memasuki Fasa Dua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang menggariskan tujuh teras utama merangkumi empat fasa iaitu Peletakan Asas (2007-2010), Peningkatan dan Pemerkasaan (2011- 2015), Kecemerlangan (2016) dan Kegemilangan dan Kelestarian (melangkaui 2020).

Transformasi ini dilihat mampu meningkatkan kualiti modal insan yang kreatif dan inovatif, sekali gus menjadi pemacu kepada inovasi yang akan memandu masa depan ekonomi negara yang berdaya saing pada peringkat global.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu menjadi aset dan modal insan yang mampu menggerakkan pembangunan dan kemajuan negara. Menjadikan mereka sebagai sumber modal utama bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan. Ia hanya boleh dilakukan melalui kualiti dan mutu pendidikan khususnya pada peringkat pengajian tinggi.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url