Bukan wanita saja ‘berat jodoh’
Seorang kawan lelaki dari Pahang membuat pengakuan, dia tidak sedikit pun merasa ‘goyah’ apabila golongan lelaki di negeri itu dikata akan ‘berat jodoh’ kerana bilangan mereka yang lebih ramai berbanding wanita.
Dalam reaksinya, beliau berkata, sekiranya wanita tidak ramai di Pahang, berhijrahlah ke negeri-negeri lain – bercampurlah, jangan hanya mencari calon isteri dalam satu negeri saja – tidak mencabar langsung.
Tetapi yang pastinya kawan saya itu, walaupun telah begitu lama bekerja di ibu kota ini, dalam usia memasuki ambang 40-an, beliau masih mempertahankan status bujangnya!
Ini membawa kepada satu isu lain pula, isu kahwin lewat. Selama ini apabila memperkatakan mengenai isu kahwin lewat maka ramai pihak memberi fokus kepada kaum wanita sahaja. Sedangkan, ramai juga lelaki yang berat jodoh. Tetapi tidaklah dapat dipastikan perangkaannya, sama ada ia melibatkan lelaki Pahang atau negeri-negeri lain.
Pun begitu, dalam isu lelaki lebih ramai ini, ada juga yang bertanya, bukankah selama ini di negara kita wanita lebih ramai berbanding lelaki? Ini ketara dilihat apabila wanita yang menguasai pengambilan pelajar-pelajar ke institusi pengajian tinggi setiap tahun. Dalam pada itu negara juga kekurangan guru lelaki sama ada di sekolah rendah mahupun menengah.
Dan bagi saya, kemasukan ramai pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi juga satu isu lain yang tidak payahlah diulas panjang, kerana nanti dikata pula satu percubaan untuk mencetuskan perbalahan antara lelaki dan wanita mengenai tahap kebijaksanaan pula!
Berdasarkan banci penduduk yang dijalankan tahun lepas, menunjukkan lelaki di Pahang melebihi wanita pada nisbah 113:100 iaitu satu angka yang melebihi paras nasional pada 105:100. Berdasarkan bilangan sebenar, terdapat 759,587 orang lelaki manakala wanita, 683,778 di negeri berkenaan.
Sementara itu, nisbah lelaki tempatan berbanding lelaki warga asing di Pahang adalah 13:1 iaitu bagi setiap 13 lelaki tempatan terdapat seorang lelaki asing. Perkembangan tersebut, disifatkan akan memberi kesan dari segi persaingan lelaki di Pahang untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan.
Ditambah pula dengan bilangan lelaki dalam umur perkahwinan iaitu 20 hingga 34 tahun di negeri itu ialah 198,600 orang berbanding 188,900 wanita.
Sekiranya nisbah bilangan jantina tidak berimbang, ia boleh menimbulkan masalah kekurangan bilangan penduduk antara jantina dalam umur perkahwinan tertentu untuk dijadikan pasangan hidup. Mungkin nanti jarak usia di antara pasangan adalah terlalu jauh, yang akan mencetuskan masalah lain pula.
Pun begitu, tidak perlulah diambil kisah dan dirisaukan akan angka-angka tersebut. Kita percaya kepada jodoh dan pertemuan, qada dan qadar daripada Tuhan. Jalani hidup ini dengan melakukan yang terbaik untuk agama, diri, keluarga dan negara.
- UTUSAN
betul lah tu. jodoh urusan Allah. tertulis dalam Qada' dan Qadar. sebagai manusia kita perlu usaha ikhtiar dalam kehidupan. Jodoh tidak dating sendiri tetapi perlu diusahakan. Selain dari bersifat ramah (bertempat) , doa dan ikhtiar lain jangan diabaikan. Saya suka mencadangkan (bagi yg dah jemu berusaha) bertemu seorang ustaz di kampong belahan tampok, rengit, batu pahat, johor ( ustaz adi wijaya bin iskandar) sebagai usaha ikhtiar. Mungkin ada sesuatu penghalang yg kita tidak tahu (berhubung kes syaitan, badi, alam ghaib) menghalang jalan usaha ikhtiar kita. Ada rakan kita dah masukan ritual perubatan beliau dalam laman web : http://my.opera.com/saharaaban/albums/show.dml?id=14706102