Pendidikan radikal racuni pemikiran umat Islam
Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Konsep perjuangan dan jihad dalam Islam adalah untuk menegakkan keamanan dan keadilan sejagat, bukan bermusuhan dengan orang yang berbeza akidah dengan umat Islam.
Kemakmuran, keindahan dan tamadun Islam tidak dapat dibina jika hati nurani umat Islam disemat dengan perasaan kebencian dan permusuhan terhadap bangsa yang berbeza agama.
Tugas umat Islam terutama yang berpendidikan Islam adalah menyeru manusia supaya menyembah Allah Yang Maha Esa secara hikmah dan membimbing mereka ke arah kehidupan yang bertepatan dengan syariah Islam. Oleh itu hikmah, kelunakan hati nurani dan kemesraan dengan umat yang berbeza akidah merupakan satu tuntutan dalam Islam.
Konteks sosio-ekonomi dan politik dalam negara-negara Islam amat berbeza di antara satu sama lain. Suasana yang wujud dalam negara-negara Arab dan Islam yang lain amat berbeza dengan konteks dan suasana dalam Malaysia.
Pergolakan politik, kekejaman dan ketidakadilan dalam sistem pemerintahan negara yang menyebabkan rakyat menderita dan terlalu miskin merupakan suasana dalam kebanyakan negara Islam yang mengamalkan dasar kuku besi.
Menggulingkan kerajaan begini merupakan jihad yang dituntut oleh Islam kepada rakyat di negara tersebut kerana negara-negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi sukar untuk mendapat keadilan untuk rakyat. Itu adalah strategi terakhir untuk mendapat keadilan dan keamanan.
Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin yang berwibawa. Kekuatan sesebuah kerajaan itu berdasarkan kepada sokongan dan pemilihan rakyat.
Oleh itu rakyat tidak perlu mengangkat senjata untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak digemari oleh mereka dalam negara demokrasi kerana pilihan raya merupakan penentu kepada menang atau kalah sesebuah kerajaan itu.
Berdasarkan kepada suasana yang wujud dalam negara ini maka kegiatan mendidik dan mempengaruhi remaja Islam dengan ideologi radikal adalah bertentangan dengan konteks dan suasana dalam negara ini.
Kegiatan radikal membunuh orang yang dianggap musuh untuk menegakkan sistem khalifah Islam dalam negara ini adalah tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Perbuatan begini boleh dikategorikan sebagai kes jenayah yang boleh disabitkan dengan hukuman jenayah.
Dalam era kerajaan Malaysia ingin memperkenalkan sistem perundangan Islam secara hikmah dan berhemah sepatutnya guru-guru di sekolah agama menumpukan perhatian dalam pendidikan Islam secara serius. Mereka sepatutnya berusaha gigih memastikan para pelajar fasih dan mahir dengan ilmu-ilmu wahyu dan akademik agar mereka menjadi para pelajar yang pintar dalam urusan hukum-hakam dan sebagainya.
Kegiatan meracuni pemikiran pelajar dengan ideologi radikal bukan merupakan satu didikan kerohanian sempurna. Ia merupakan satu agenda politik untuk menggulingkan kerajaan secara 'baling batu sorok tangan.'
Ideologi radikal hanya bersesuaian dalam konteks dan masa tertentu sahaja dengan tujuan membangkitkan semangat jihad dan memperjuangkan keadilan dan keamanan seperti mana berlaku di negara-negara Islam yang diserang oleh musuh atau para pemerintah membunuh dan menyiksa rakyat dengan pelbagai bentuk kekejaman.
Jika para guru mendidik dan mempengaruhi pemikiran remaja dengan ideologi radikal maka kegiatan itu tersasar daripada konsep jihad dalam Islam. Mereka bukan sahaja meracuni pemikiran remaja Islam malah ia juga mendorong pelajar melakukan kegiatan jenayah.
Membantu masyarakat Islam yang menghadapi pergolakan politik bukan semestinya menghantar para remaja dari negara ini berjuang bersama para pejuang dalam negara tersebut. Tambahan pula remaja Islam itu tidak mempunyai pengalaman dalam hal ehwal peperangan dan latar belakang geografi negara-negara bergolak.
Dalam konteks negara Islam masih banyak dalam kategori negara-negara membangun dan miskin maka jihad yang paling utama masa kini adalah membangunkan negara Islam dengan pelbagai kegiatan ekonomi dan sosial serta mempereratkan hubungan diplomatik sesama negara Islam.
Strategi begini lebih berkesan untuk membentuk sebuah empayar Islam yang dibatasi oleh sempadan geografi. Dalam era globalisasi sempadan geografi bukan merupakan satu perkara yang sukar untuk ditembusi. Manusia mengenali antara satu sama lain tanpa mengira agama dan bangsa untuk membangun tamadun masing-masing.
Umat Islam dalam era ini perlu menumpukan perhatian kepada aspek yang berbentuk shahadah ala al-nas (menunjukkan kehebatan Islam dengan pelbagai kemajuan teknologi) serta melatih jiwa dan pemikiran umat menjadi orang yang bertakwa bukan menyemarakkan pemikiran ideologi radikal sehingga bermusuhan sesama umat dan bertindak di luar konsep kemanusiaan.
Sistem khalifah Islam pada masa silam bukan hanya bergantung kepada kekuatan senjata tetapi ia merangkumi kelengkapan dalam pelbagai aspek pentadbiran, pemerintahan, sosial dan kebudayaan.
Berdasarkan kepada konteks masa kini maka usah meracuni pemikiran remaja dengan ideologi radikal. Ideologi radikal sering dikaitkan dengan perjuangan politik. Jika negara aman dan rakyat mendapat pembelaan dan anak-anak didedahkan dengan pelbagai bidang pendidikan maka rebutlah peluang ini untuk memajukan diri anak-anak dan masyarakat, bukan meracuni pemikiran mereka sehingga mereka hilang daya pemikiran rasional.
- UTUSAN
adakah malaysia negara islam atau negara yang hanya dihuni oleh orang islam