Kepelbagaian etnik menurut Islam

Oleh KAMARIAH YUSOFF

PENCIPTAAN manusia oleh Allah SWT adalah sesuatu yang amat menakjubkan. Walaupun hanya diciptakan daripada tanah liat dan seterusnya ditiupkan roh namun manusia adalah makhluk yang terbaik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku-tiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya. (Sad: 71-72)

Selepas kejadian Adam, diciptakan pula ibu bagi sekelian manusia iaitu Hawa sebagai teman hidup kepada Adam. Daripada kedua-duanya dikembangbiakkan keturunan manusia.

Allah menyatakan perkara ini melalui firman-Nya dalam ayat 1 surah al-Nisa'.

Sayyid Muhammad Qutb, seorang pemikir Islam yang terkenal menghubungkan kejadian manusia secara keseluruhannya dengan beberapa gambaran yang boleh menyentuh perasaan.

Antaranya keperluan manusia kembali kepada ajaran Allah, hakikat kejadian manusia yang berasal daripada rahim yang satu, akhirnya berkembang biak menjadi pelbagai golongan.

Mereka sepatutnya kembali bersatu dalam tunduk dan patuh kepada-Nya dalam urusan kehidupan.

Semua manusia diciptakan Allah daripada keturunan yang satu, iaitu Adam. Justeru mereka perlulah berusaha untuk menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada-Nya.

Manusia diciptaka dalam kepelbagaian sebagai sunnah Allah. Kepelbagaian itu patut diterima sebagai sesuatu yang baik. Walaupun ada golongan yang cenderung mentafsirkannya secara negatif dan menjadikannya alasan untuk terus berselisih.

Sesungguhnya Islam sejak mula diturunkan mengiktiraf secara eksklusif maruah dan martabat manusia. Islam juga menerima hakikat manusia itu hidupnya berlainan agama, sistem kepercayaan dan nilai.

Islam memberi garis panduan tatacara hubungan sesama Muslim dan menjalin hubungan bersama dalam membina kehidupan.

Manusia memiliki akal, personaliti, kesedaran diri, justeru mereka mampu membezakan dirinya berbanding makhluk-makhluk yang lain. Dengan akallah mereka dapat mencapai peradaban yang tinggi.

Kaum dan warna kulit dalam Islam tidak dijadikan dasar untuk diberikan sokongan atau bantuan, tetapi yang menjadi dasar dalam Islam ialah kebenaran dan keadilan.

Jika memperjuangkan kebenaran, maka mereka hendaklah disokong, meskipun daripada kaum dan menggunakan bahasa yang berbeza. Demikianlah sebaliknya.

Di alam ini ada pelbagai etnik atau kaum yang menghuni seluruh pelosok muka bumi dengan pelbagai budaya, bangsa, warna kulit dan agama.

Manusia sebagai makhluk sosial selalunya lebih menekankan hak-hak peribadi dan membangunkan sifat ego, autoriti dan lain-lain yang berpusat kepada kepentingan diri dan mengabaikan kepentingan orang lain. Ini adalah sifat yang tercela dalam pandangan Islam.

Oleh itu sifat terbuka, berlapang dada dan kesudian untuk saling memaafkan adalah sangat dipuji. Justeru gabungan antara hak peribadi dan kepentingan sosial itu menghasilkan jalan tengah seperti wasat, qist dan 'adl yang sering diungkapkan dalam al-Quran.

Islam tidak menafikan semangat kepelbagaian yang melibatkan masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya hidup aman damai dan saling berdampingan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url