Top Ad 728x90

Ketinggian agama Islam

Oleh PROF. MADYA DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

MENGIKUT kesepakatan ahli sejarah, agama Islam telah datang ke Semenanjung Tanah Melayu kira-kira pada abad ke-14. Islam mula bertapak di Melaka dan seterusnya menjadi agama utama di negeri-negeri berjiran.

Agama Islam diletakkan di satu tempat yang begitu tinggi oleh pemerintah-pemerintah dahulu. Malah undang-undang Islam walaupun bercampur dengan undang-undang adat namun menjadi undang-undang utama negara.

Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki sekarang digubal oleh satu suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang diketuai oleh Lord Reid dari United Kingdom dengan ahli-ahli lain terdiri daripada Sir Iver Jeannings dari United Kingdom, Justice Abdul Hamid dari Pakistan, Sir William McKell dari Australia dan B Malik dari India. Malangnya, tiada seorang ahli Suruhanjaya tersebut terdiri daripada orang tempatan.

Namun peruntukan mengenai agama Islam sebagai agama Persekutuan dimasukkan dalam perlembagaan tanpa sedikit pun menyisihkan hak orang bukan Islam dalam menganut dan mengamal agama mereka. Ini telah dipersetujui oleh semua pihak sebelum merdeka dan telah menjadi salah satu unsur dalam kontrak sosial.

Satu Kertas Putih telah dikeluarkan bagi menerangkan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: Ugama Islam adalah ugama bagi Persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Peruntukan seperti ini diberi penekanan sekali lagi dalam Perkara 11(1) yang berbunyi: "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya."

Dengan adanya dua peruntukan penting ini, Perlembagaan memberi jaminan hak kebebasan beragama kepada kepada semua penganut agama. Tetapi, kebebasan beragama tidaklah bersifat mutlak. Sebagai contohnya, dalam fasal (4) Perkara 11 memberi kuasa kepada Parlimen dan Badan-badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang pengawalan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam. Di samping itu, Perkara 11 (5) meletakkan syarat bahawa kebebasan itu tidak menyalahi ketenteraman awam, kesihatan awam dan akhlak.

Sebenarnya, Islam mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini dapat dijelaskan dalam kes Meor Atiqulrahman dll lwn Fatimah Bte Sihi dll [2000] 5 MLJ 375 di mana Hakim Datuk Mohd. Noor Abdullah dalam memutuskan kes pemakaian serban oleh tiga murid sekolah mengatakan bahawa menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan ad-deen, satu cara hidup dan bukan hanya khusus untuk upacara-upacara rasmi sahaja.

Katanya lagi: "Agama Islam adalah agama utama, mengatasi agama-agama lain di Malaysia. Status agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain. Agama Islam ibarat pokok jati yang menaungi agama-agama lain, bukan duduk sama dengan agama-agama lain."

Dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Hakim Datuk Faiza Tamby Chik memutuskan bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan itu sendiri menempatkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama utama dan dominan mengatasi agama-agama lain.

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan memelihara, menjaga dan mempromosikan Islam. Memandangkan kedudukan khas yang diberikan kepada agama Islam, dan kaitan antara Islam dan Melayu, Hakim telah menolak permohonan Lina Joy untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam, justeru untuk memelihara agama Islam.

Malaysia Negara Sekular?

Hujah yang menyatakan Malaysia sebuah negara sekular adalah kurang tepat. Ini kerana, terdapat banyak peruntukan lain dalam Perlembagaan itu yang memberi keistimewaan kepada agama Islam. Perkara 3(1) yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang membenarkan kerajaan membelanjakan duit negara bagi pembangunan agama Islam, menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama ada menjelaskan dalam satu sesi Parlimen bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam dan peruntukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk tujuan rasmi negara. Pandangan Almarhum boleh dipertikaikan kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri tidak sama sekali menyebut bahawa agama rasmi Persekutuan adalah Islam.

Malah peruntukan agama Islam sebagai agama Persekutuan adalah lebih luas dan lebih memihak bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara Islam. Ini berbeza dengan Turki dan India yang secara khusus memperuntukkan dalam Perlembagaan masing-masing bahawa negara mereka adalah sekular.

Pun begitu, terdapat sesetengah peguam dan pengamal undang-undang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

Mereka merujuk kepada kes Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya [1988]. Ini kerana Hakim Tun Salleh Abbas (ketika itu) berpendapat bahawa agama Islam bukanlah hanya semata-mata peribadatan khusus tetapi meliputi satu cara hidup yang merangkumi pelbagai aktiviti kehidupan sama ada dalam bentuk individu mahupun kemasyarakatan seperti undang-undang, politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, moral dan kehakiman. Namun peruntukan Perkara 3(1) hanyalah bersifat peribadatan dan upacara rasmi sahaja.

Ini kerana perayu mempertikaikan sama ada undang-undang yang wujud dalam negara ini, dalam hal ini hukuman gantung mandatori bagi kesalahan mengedar dadah adalah bercanggah dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, justeru undang-undang Islam tidak menghukum orang yang mengedar dadah dengan hukuman mati di bawah hukuman hudud.

Tetapi menurut Prof. Dr. Aziz Bari, keputusan kes itu sebenarnya tidak mencerminkan kedudukan sebenar Islam seperti mana yang dibuat dalam Laporan Suruhanjaya Reid dan Kertas Putih.

Keputusan Che Omar tidak boleh sama sekali mempertikaikan perihal kesahihan undang-undang. Ia hanyalah mengehadkan amalan agama Islam seperti mana yang termaktub. Keputusan kes ini tidak sama sekali merendahkan kedudukan agama Islam itu sendiri.

Hujah lain ialah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong setiap kali ditabalkan antara lain adalah untuk "memeliharakan setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri". Ini mencerminkan bahawa agama Islam diberi tempat yang tinggi. Malah dari sudut sejarah, Tanah Melayu telah dianggap oleh ahli-ahli sejarah sebagai sebuah negara Islam melihat kepada undang-undang yang dilaksanakan sebelum penjajahan.

Sebelum kedatangan Belanda dan British, undang-undang yang terpakai adalah meliputi undang-undang Islam dan adat. Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang pokok telah mempengaruhi undang-undang di negeri lain, yang banyak mengandungi peraturan dan hukuman yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu.

Kedatangan Belanda di Melaka dan seterusnya menjajahi seluruh Tanah Melayu tidak sedikit pun memberi kesan kepada aspek undang-undang yang terpakai semasa itu. Hanya dengan kedatangan British, undang-undang Islam sedikit demi sedikit telah diketepikan dan diganti dengan undang-undang Inggeris.

Pertahan Ketinggian Islam

Kedudukan agama Islam sangat tinggi di Malaysia. Selagi peruntukan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan wujud, maka agama Islam adalah agama dominan di Malaysia. Perkara 3 (1) ini mustahil untuk dipinda walaupun mendapat majoriti di Parlimen kerana ia mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) terlebih dahulu. Tanpa perkenan MRR, pindaan ini tidak boleh dibuat dan tidak ada alasan sebesar hamapun mengapa pindaan ini patut dipersetujui. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam di Malaysia untuk memajukan agama Islam supaya ia menjadi rujukan utama sesuai dengan kedudukannya yang tinggi.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90