Uruguay julang kejuaraan ke-15 Piala Copa America


BUENOS AIRES - Diego Forlan meledak dua gol selepas Luis Suarez menjaringkan gol pembukaan sewaktu Uruguay menewaskan Paraguay 3-0 untuk muncul juara Copa America semalam dan dinobatkan juara Amerika Selatan kali ke-15.

Suarez, yang dipilih sebagai Pemain Terbaik kejohanan, meletakkan Uruguay mendahului perlawanan pada minit ke-12 dalam perlawanan akhir di Monumental apabila rembatan rendah kaki kirinya menerjah sudut kanan gawang yang melepasi jangkauan penjaga gol Paraguay, Justo Villar.

Forlan, Pemain Terbaik Piala Dunia 2010, menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit sebelum rehat, setelah menerima bola daripada pemain tengah, Egidio Arevalo Rios dan dia melepaskan rembatan kencang kaki kirinya yang sekali lagi menewaskan Villar dari dalam kotak penalti.

Pada minit terakhir permainan, Forlan memastikan kejuaraan milik Uruguay apabila menjaringkan gol keduanya.

"Skuad ini amat bersatu-padu, mereka bermain seperti mana yang dipamerkan ketika beraksi pada Piala Dunia dan kami juga buktikan bahawa kami adalah yang terbaik di Amerika Selatan.

"Saya fikir Uruguay telah melakar banyak kejayaan dan mereka tidak lupa bagaimana untuk mencatat kemenangan," kata Suarez.

Uruguay kini mengatasi tuan rumah, Argentina dengan kelebihan satu kejuaraan, pasukan yang mereka kalahkan pada suku akhir menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu juga diraih genap setahun selepas mereka menduduki tempat keempat Piala Dunia 2010.

Juara dua kali, Paraguay menamatkan saingan pada kejohanan itu tanpa kemenangan dalam laluan ke final setelah mencatat lima seri.

Paraguay sekadar mencatat dua kemenangan menerusi penentuan penalti.

Suarez menjaringkan empat gol pada kejohanan itu, kurang satu gol daripada penjaring terbanyak, Paolo Guerrero yang mencipta hatrik bagi membantu Peru mengalahkan Venezuela 4-1 untuk meraih tempat ketiga di La Plata, kelmarin.

Forlan, yang mencatat 82 cap bersama Uruguay, menamatkan kemarau gol apabila meledak dua jaringan untuk menyamai rekod 31 jaringan yang dipegang oleh Hector Scarone.

Sejak awal permainan lagi, Uruguay mula mengasak gawang Paraguay dan berjaya mendapatkan empat sepakan sudut dalam tempoh lapan minit dengan pertahanan lawan berjaya menyelamatkan satu percubaan terbaik dan diikuti tandukan dari Diego Lugano yang diselamatkan Villar.

Paraguay mencipta peluang gol menerusi pemain tengah, Enrique Vera dan Nelson Haedo Valdez, tetapi percubaan mereka gagal menemui sasaran.

- Reuters
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url