Wanita stres sukar hamil

Sebagai seorang arkitek muda, Linda, 28, menghadapi hari-hari penuh mencabar. Rutin kerjanya bukan sahaja memerlukan dia menyediakan pelan bangunan, bahkan dia yang bekerja di sebuah firma swasta itu perlu melakukan kerja-kerja lain yang berkaitan. Biarpun dibayar gaji yang tinggi, Linda tetap tidak berpuas hati dengan hidupnya. Ada sahaja yang tidak kena sehingga membuatkan dia berasa tertekan. Hubungan sesama rakan sekerja, kerenah majikan, bahkan tanggungan hutang yang banyak membuatkan fikirannya kusut. Jadualnya yang sentiasa sibuk memaksa wanita yang sudah berkahwin sejak empat tahun lalu itu sering pulang lewat dari pejabat.

Dikurniakan seorang suami yang memahaminya, Linda gembira berada di sisi orang yang disayanginya itu. Hubungan mereka jarang bermasalah. Namun, walaupun sudah lama mendirikan rumah tangga, Linda belum memperoleh cahaya mata. Linda yang selalu tertekan sebenarnya menjadi penyumbang kepada statistik wanita Malaysia yang berada pada kedudukan ke-16 dalam golongan paling tertekan di dunia. Dalam kajian yang dilakukan oleh syarikat media dan maklumat Nielsen di 20 buah negara membangun baru-baru ini, sebanyak 44 peratus wanita Malaysia didapati mengalami tekanan hidup. Tanpa disedari, tekanan mampu membantutkan keupayaan mereka untuk mendapat cahaya mata. Menjelaskan mengenai perkaitan antara tekanan dan kesihatan reproduktif, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menjelaskan tekanan turut mempengaruhi proses seksual wanita.

Menurutnya, hubungan seks merupakan aktiviti yang berkaitan dengan keinginan. Hubungan yang intim sukar dijayakan apabila seseorang sedang berhadapan dengan tekanan. “Dari segi psikologi, seseorang yang mengalami tekanan pada emosinya tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim bersama pasangan. “Perasaan yang gembira dan selesa ketika bersama menjadi faktor kejayaan sesebuah hubungan intim,” katanya lagi. Ismail turut menjelaskan bahawa tekanan mampu mengakibatkan sistem endokrin menjadi tidak menentu.

Haid

“Kitaran haid dan kandungan hormon boleh terjejas akibat tekanan yang dihadapi. “Secara tidak langsung, ia menjadi faktor yang menghalang wanita daripada hamil,” katanya. Dalam pada itu, ramai pakar psikologi percaya sistem psikologi manusia mempunyai kaitan dengan stres kerana ia boleh merencatkan hormon ganodotropin. Tekanan yang berlebihan dan berpanjangan menyebabkan gangguan kitaran haid termasuk tidak berlakunya ovulasi dan tiada haid (amenorea). Tekanan turut dipercayai meningkatkan bahan kimia yang dinamakan katekolamin. Reseptor ini banyak terdapat pada organ-organ reproduktif.

“Wanita yang menghadapi tekanan memang boleh mengalami keguguran. Justeru, tangani isu ini sebaik mungkin,” katanya. Ismail ternyata khuatir yang tekanan akan menjadi penyumbang kepada masalah kesuburan rakyat negara ini. Katanya, kadar kesuburan dalam kalangan penduduk negara menunjukkan trend menurun. “Seperti yang sedia maklum, kadar kesuburan rakyat Malaysia telah merosot daripada 3.4 peratus kepada 2.6 peratus dalam tempoh sepuluh tahun. “Masalah yang dihadapi wanita di negara ini sentiasa bertambah seiring pembangunan negara. “Tidak hairanlah jika penduduk Malaysia akan berkurangan pada masa hadapan,” ujar Ismail lagi. Sebagai penyelesaiannya, Ismail menasihati wanita agar menangani tekanan sebaik mungkin dengan mencari punca sebenar stres bagi mengelakkan gangguan pada sistem reproduktif mereka.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url