15 Ogos 2011 ini genap 500 tahun jatuhnya Melaka
Hitam sebagai tanda berkabung sementara merah bermakna kesanggupan berjuang.
Mereka yang menjadi penyokong Kesatuan Melayu Muda (KMM) ini berpakat memakai baju itu sebagai mengenang kejatuhan kota Melaka di tangan Portugis yang berlaku pada 15 Ogos 1511.
Memang sukar bagi mereka mencari baju kemeja hitam dan tali leher merah yang perlu dibuat khas, dan tentunya memerlukan wang. Pada masa itu, pakaian guru ialah baju putih dan seluar putih bertali leher hitam dan bersongkok hitam.
Maka pada 15 Ogos 2011 ini, genaplah 500 tahun kota Melaka tumbang. Kota Melaka hanya merdeka pada 31 Ogos 1957 sebagai salah sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Ini bermakna kota Melaka dijajah 446 tahun 16 hari. Tun Ghafar Baba yang menjadi bapa kemerdekaan bagi Melaka mencadangkan bendera merah putih sebagai latar belakang kepada bendera negeri tetapi dengan bintang bulan di bucunya selaras dengan jati diri Melaka sebagai negeri Melayu seperti negeri-negeri Melayu lain di Tanah Melayu ketika itu.
Beliau mencadangkan supaya petak empat segi yang menempatkan bulan bintang itu supaya berwarna hijau sebagai kaitannya dengan agama Islam. Tetapi cadangannya ditolak oleh Tunku Abdul Rahman yang mahukan warna petak itu sebagai biru, selaras dengan warna petak empat segi di bucu bendera persekutuan.
Dengan kemerdekaan itu, Melaka yang sudah tidak mempunyai raja sendiri sejak tahun 1511 mendapat pula kedaulatan diraja melalui Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua agama bagi negeri itu.
Maka pada masa giliran Sultan Perak menjadi Yang di-Pertuan Agong, Melaka memperoleh semula seorang raja yang susur galurnya sampai kepada Kesultanan Melayu Melaka ketika kota itu belum jatuh ke tangan Portugis.
Tetapi pada tarikh 31 Ogos 1957, buat pertama kalinya kota Melaka menjadi negeri yang berdaulat. Ini kerana sebelum itu, ia hanya menjadi kota jajahan bagi Inggeris, Belanda dan Portugis. Dengan beberapa tahun pernah berada di bawah Jepun.
Sementara semasa pemerintahan Kesultanan Melayu, kota Melaka adalah tempat bersemayam sultan yang memerintah satu kerajaan yang wilayah pemerintahannya adalah luas meliputi sebahagian besar kepulauan Nusantara yang meliputi semenanjung Tanah Melayu, pulau Sumatera hinggalah ke Brunei.
Perlu diingatkan bahawa pada zaman itu, orang tidaklah menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melaka dan negaranya sebagai Melaka.
Mereka menyebut raja Melaka itu sebagai Sultan Melayu dengan kerajaannya sebagai kerajaan Melayu yang memerintah negeri-negeri di kepulauan Melayu.
Melaka hanyalah kota di mana bersemayam raja Melayu. Maka oleh kerana pusat kerajaan terletak di kota Melaka, maka selat itu juga kemudian dikenali sebagai Selat Melaka.
Tetapi negara yang diperintah oleh sultan yang bersemayam di Melaka itu adalah luas dan disebut sebagai negeri-negeri Melayu saja.
Sementara Kesultanan Melayu di Melaka itu pula merupakan kesinambungan kepada Raja-raja Melayu terdahulu yang bersemayam di Palembang, Sumatera di bawah nama kerajaan Sri Wijaya.
Tetapi apa yang disebut sebagai Melayu meliputi semenanjung, dan semua pulau di sekitarnya iaitu Sumatera dan Brunei. Sudah tentu Singapura juga termasuk di dalamnya.
Malah sebelum Melaka, kerajaan Melayu ini cuba menjadikan Singapura yang ketika itu dikenali sebagai Temasik sebagai kota kerajaan Melayu sebagai lanjutan kepada Palembang sebelum itu.
Sejarah mungkin berbeza jika kerajaan Melayu dapat bertapak di Singapura untuk memerintah kepulauan Melayu.
Tetapi Siam menganggap keseluruhan semenanjung, termasuk Temasik adalah miliknya.
Maka bala tentera dihantar Siam untuk mengajar raja Melayu itu. Askar Melayu yang ada tidak akan mampu berlawan dengan tentera Siam itu.
Maka berpindahlah raja Melayu itu ke Melaka untuk ditubuhkan sebuah kerajaan yang kuat. Siam tetap mahu memusnahkan Melaka. Tetapi kemenangan Melaka di Batu Pahat di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah menyelamatkan kerajaan Melayu.
Tetapi pada keseluruhannya yang memantapkan kedudukan kerajaan Melayu adalah hubungan diplomatik dengan Kerajaan Ming China melalui laksamana Cheng Ho dan pemelukan Islam oleh raja dan rakyat Melaka.
Islam adalah trend pada masa itu. India menjadi Islam di bawah Moghul. Dinasti Ming hampir penuh menjadi Islam. Di Jawa pula, Islam juga sedang mara menguasai keseluruhan pulau itu.
Tetapi pada waktu yang sama di sebelah Barat, kerajaan Andalusia sudah lama tumbang dan munculnya kuasa baru yang akan mengubah dunia, Sepanyol dan Portugis.
Dengan semboyan Glory, Gold dan Gospel atau Kegemilangan, Emas dan Injil, dalam erti kata lain, kekuasaan, kekayaan dan penyebaran agama, bala tentera Portugis sampai ke Nusantara.
Di sebalik semboyan itu, apa yang mereka cari ialah rempah. Rempah ratus! Makanan dan dorongan tekak dan perut yang mendorong mereka sampai ke sini. Begitulah besar motivasi makanan.
Maka dengan dorongan inilah, Melaka tumbang. Tetapi walaupun ia memusnahkan istana dan bandarnya, kerajaan Melayu tidak tumbang. Ia hanya berpindah tempat istana semayamnya iaitu ke Kota Tinggi di Johor.
Walaupun tempat itu tidaklah sehebat Melaka, tetapi ia cukup untuk meneruskan kesultanan Melayu. Hakikatnya kerajaan Melayu di Melaka dan Johor-Riau adalah serupa dan sambung-menyambung saja.
Oleh kerana ia terletak di Johor dan Riau, maka ia disebut sebagai kesultanan Johor-Riau, tetapi hakikatnya ia adalah kesultanan Melayu yang sama dengan di Melaka.
Walaupun kemudiannya kerajaan ini tidak lagi diperintah oleh waris-waris Sultan Melaka, ia tetap merupakan pewaris kepada kesultanan terdahulu. Bendaharanya menjadi Sultan Pahang. Sementara Maharaja Abu Bakar menjadi Sultan Johor yang menyambung kesultanan Melayu.
Kerajaan ini terus berdaulat walaupun British kemudiannya menguasai pertahanan dan hal ehwal luar Johor.
- UTUSAN