4,436 Calon IPTA Memilih Untuk Tidak Dipertimbangkan Untuk Pengajian Lain
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira keputusan pemohon sendiri ketika mengemukakan permohonan menerusi borang Unit Pusat Universiti (UPU).
"Prosedur permohonan membenarkan calon menyatakan persetujuan memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan pilihan program yang dimohon.
"Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi calon yang memilih untuk tidak bersetuju, katanya kementerian tidak akan mempertimbangkan untuk menawarkannya program yang lain walaupun mereka layak berdasarkan merit yang tinggi.
Selain itu, beliau berkata semua permohonan rayuan hanya akan dipertimbangkan bagi mengisi kekosongan tempat yang ada selepas pendaftaran pelajar baru pada awal September sahaja.