Chong Wei kalah Kejuaraan Dunia 2011 di tangan Lin Dan


Datuk Lee Chong Wei sudah diambang kemenangan selepas hanya memerlukan satu mata untuk membawa pulang kejuaraan dunia pertama, malangnya 'badi' Lin Dan terus menghantuinya apabila tunduk dalam perlawanan yang penuh dramatik di Arena Wembley, London semalam.

Bayangan kejuaraan sudah terbayang selepas jaguh No. 1 dunia itu memegang mata perlawanan dua kali, pada kedudukan 20-19 dan 21-20 di set penentuan, malangnya Lin Dan berjaya memaksa Chong Wei melakukan kesilapan sebelum ditabalkan sebagai juara dunia buat kali keempat dengan kemenangan 20-22, 21-14, 23-21 dalam masa 1 jam, 22 minit.

Kegagalan terbaru selepas enam percubaan yang mengecewakan kini memaksa Chong Wei menangguhkan persaraan kerana masih mahu mencari kejuaraan dunia pada 2013. untuk melengkapkan karier gemilangnya.

"Saya akan cuba lagi pada Kejohanan Dunia 2013. Hari ini, Lin Dan bermain dengan amat baik dan dia berani mengambil risiko ketika saya mendahului 16-13.

"Saya pula membuat kesilapan yang membawa padah dan sekarang saya kena rancang semula strategi sebelum menghadapi Sukan Olimpik London.

"Saya tidak boleh terus kalah kepadanya seperti sekarang. Ketika ini, kami tiada pencabar lain, hanya kami berdua musuh di atas gelanggang,'' ujar Chong Wei sejurus tamat perlawanan.

Badi Lin Dan dan kejohanan besar nampaknya belum mampu dibuang juara All England dua kali itu, selepas turut dikecewakan jaguh China itu pada final Sukan Olimpik 2008, final Sukan Asia 2010, malah pada separuh akhir Piala Thomas, tahun lalu.

Chong Wei mengalami kekejangan serius sejurus tamat perlawanan akhir, walaupun pengusung dan kerusi roda disediakan, namun dia menggagahkan diri untuk berjalan ke bilik persalinan.

"Chong Wei kalah bukan kerana dia tidak bermain baik, tetapi dalam perlawanan ini kedua-dua pemain menunjukkan satu permainan yang sangat hebat; ia adalah perlawanan kelas dunia.

"Siapa yang lebih berani dalam mengambil risiko, berani buat dan kemudian menjadi, dia akan menang. Hari ini Lin Dan memang berani mengambil risiko, saya tabik kepadanya, tetapi itu Chong Wei juga bermain dengan bagus,'' kata jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.

Walaupun beraksi di gelanggang berkecuali, namun Arena Wembley bagaikan tuan rumah buat Lin Dan yang mendapat sokongan padu daripada majoriti penonton China yang memenuhi gelanggang bersejarah itu.

Begitupun faktor penyokong dan suasana bingit stadium tidak menganggu fokus Chong Wei yang menunjukkan permainan meyakinkan ketika menang 22-20 dalam set pembukaan, malangnya terlalu banyak kesilapan sendiri, terutama bola yang sangkut di jaring membenarkan Lin Dan mengutip mata demi mata di set kedua untuk menang mudah 21-14.

Kesungguhan Chong Wei untuk mengejar di set ketiga boleh dilihat apabila dia mempercepatkan permainannya dan bermain lebih agresif. Biarpun melakukan serangan yang sempurna dan berjaya bertahan dengan baik, namun sekali lagi kesilapan sendiri menghadiahkan kejuaraan buat Lin Dan.

Chong Wei kini menyamai pencapaian jaguh veteran, Wong Choong Hann yang muncul naib juara dunia di Birmingham pada 2003. Pasangan negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula muncul naib juara dunia di Paris, tahun lalu.

kejuaraan perseorangan wanita kekal milik China buat kali kelapan berturut-turut selepas pemain No. 2 dunia, Wang Yihan menumpaskan pemain muda Taiwan, Cheng Shao Chieh 21-15, 21-10 dalam perlawanan akhir.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url